Imelda berdepan hukuman penjara

MANILA, 9 Nov – Imelda Marcos hari ini didapati bersalah terlibat rasuah dan dijatuhkan hukuman penjara bagi satu tempoh yang panjang dalam satu pertuduhan luar biasa ke atas wanita pertama Filipina itu bersama arwah suaminya yang juga bekas diktator kerana menggelapkan berbilion-bilion dolar wang kerajaan.

Imelda yang berusia 89 tahun dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman itu dan dibenarkan diikat jamin selagi pertuduhan ke atasnya itu belum dimuktamadkan.

Keputusan dari mahkamah antirasuah Sandiganbayan telah memerintahkan Imelda untuk menjalani hukuman penjara sekurang-kurangnya enam tahun bagi setiap tujuh pertuduhan kerana memindahkan wang sebanyak AS$200 juta menerusi yayasan Switzerland sejak beberapa dekad yang lalu.

Pertuduhan itu berpotensi membuatkannya dihukum penjara selama beberapa dekad, namun masih tidak jelas beberapa lama dia akan menjalani hukuman itu.

Sementara itu, arwah suaminya, Ferdinand Marcos bersama kroninya dituduh mencuri wang sebanyak AS$10 bilion dari Filipina, melarikan diri bersama keluarganya ke Amerika Syarikat setelah rakyat bangkit mengakhiri pemerintahannya selama 20 tahun pada 1986.

Gambar fail bertarikh 1 Februari 1998 menunjukkan Imelda ketika bertemu para penyokongnya semasa tiba bagi mengetuai satu perhimpunan di Tondo, Manila. – AFP

Marcos kemudiannya meninggal dunia pada 1989 ketika dalam buangan.

Namun, warisnya pulang ke Manila dan kembali menyertai politik di negara itu, di mana Imelda kini merupakan seorang anggota kongres.

Sebagai seorang pegawai kerajaan semasa pentadbiran Marcos, Imelda disekat oleh undang-undang dari terlibat dengan kepentingan kewangan luar negara, termasuklah yayasan Switzerland.

“Pasangan itu telah membuka kesemua akaun di Switzerland dan mereka menggunakan pseudonim untuk menyembunyikan pemilikan mereka. Presiden itu memilih nama William Saunders dan Imelda Marcos menggunakan nama Jane Ryane,” beritahu pendakwa raya khas, Ryan Qui-lala kepada pemberita.

Imelda, dalam satu kenyataan bertulis kepada para pemberita, berkata peguamnya Manuel Lazaro merancang untuk membuat rayuan kepada mahkamah antirasuah. – AFP