Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    IMF luluskan perjanjian pinjaman Pakistan

    NEW DELHI, 30 OGOS – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kelmarin meluluskan perjanjian pinjaman dengan Pakistan untuk mengeluarkan kira-kira AS$1.1 bilion dalam pembiayaan baharu untuk membantu negara itu mengatasi kemelut ekonominya.

    “Lembaga IMF telah meluluskan program pemulihan EFF (Kemudahan Pembiayaan Lanjutan) untuk kami. Kini kami sepatutnya mendapat bayaran kali ketujuh dan kelapan sebanyak A$1.17 bilion,” kata Menteri Kewangan Pakistan, Miftah Ismail.

    Sambungan pembiayaan IMF untuk Pakistan di bawah program pembiayaan AS$6 bilion yang dipersetujui pada Julai 2019 diluluskan selepas kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif baru-baru ini menerima syarat IMF yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), termasuk penyatuan fiskal dan kenaikan harga petrol.

    Pembiayaan untuk tempoh 39 bulan itu digantung awal tahun ini apabila kerajaan Imran Khan sebelum ini menawarkan bahan api dan elektrik pada kadar subsidi.

    Lembaga IMF pada Isnin juga meluluskan lanjutan EFF sehingga akhir Jun 2023 dan meningkatkan jumlah akses di bawah kemudahan itu kepada kira-kira AS$6.5 bilion.

    “Program ini bertujuan untuk menangani ketidakseimbangan dalam dan luar negara, dan memastikan disiplin fiskal dan kemapanan hutang sambil melindungi perbelanjaan sosial, menjaga kestabilan kewangan, dan mengekalkan kadar pertukaran yang ditentukan pasaran dan membina semula penimbal luar,” kata IMF dalam satu kenyataan.

    “Penyambungan semula program IMF itu secara rasmi adalah langkah besar ke hadapan dalam usaha negara meletakkan ekonomi Pakistan kembali di landasan,” kata Shehbaz dalam catatan media sosial.

    Kehabisan rizab pertukaran asing, peningkatan inflasi dan kejatuhan nilai rupee berbanding dolar AS telah memburukan masalah ekonomi Pakistan.

    Kerajaan Shehbaz, yang berkuasa sejak April, telah menaikkan harga bahan api dan tarif elektrik secara mendadak untuk memenuhi syarat penyelamat yang ketat IMF dengan langkah berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai. – Bernama

    Kejadian banjir yang menimpa Pakistan baru-baru ini. IMF telah meluluskan perjanjian pinjaman dengan Pakistan untuk mengeluarkan kira-kira AS$1.1 bilion dalam pembiayaan baharu untuk membantu negara itu mengatasi kemelut ekonominya. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...