IMF peruntuk Ukraine AS$5 bilion

KYIV, UKRAINE, 22 MEI – Dana Monetari Antarabangsa mengatakan semalam bahawa ia telah mencapai kesepakatan dengan pihak berkuasa di Ukraine untuk memperuntukkan AS$5 bilion untuk membantu negara itu mengatasi kemelesetan ekonomi akibat wabak koronavirus (COVID-19).

“Ini akan memastikan bahawa Ukraine bersiap untuk kembali mencatat pertumbuhan ekonomi dan melanjutkan usaha reformasi yang lebih luas selepas krisis berakhir.

Pengaturan ini juga diharapkan dapat menjadi pemangkin sokongan kewangan dua hala dan pelbagai hala,” kata pegawai IMF, Ivanna Vladkova Hollar yang menjadi peneraju rundingan dengan Ukraine.

Beliau menambah bahawa perjanjian dengan Ukraine dicapai pada staff level dan memerlukan persetujuan dari lembaga eksekutif IMF.

Awal tahun ini, Ukraine melaksanakan undang-undang yang membatalkan larangan penjualan tanah pertanian dan menghalang bekas pemilik bank yang dimiliknegara atau dilikuidasi untuk mendapatkan kembali hak milik atau menerima pampasan negara.

Kedua-duanya disenaraikan oleh IMF antara syarat untuk memberikan bantuan kepada Ukraine pada tahun lalu.

Ukraine setakat ini melaporkan lebih 20,000 kes yang disahkan positif COVID-19 dan 573 kes kematian.

Negara ini dikenakan perintah berkurung sejak 12 Mac lalu, dengan kerajaan mula melonggarkan beberapa sekatan pada akhir bulan April.

Seperti di negara-negara lain di seluruh dunia, had perniagaan dan kehidupan awam telah menjejaskan ekonomi Ukraine. – AP

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky bercakap semasa sidang media di Kyiv, Ukraine, pada 20 Mei. – AP