IMF: Prospek ekonomi global lebih baik daripada ramalan

WASHINGTON, 25 SEPT – Prospek ekonomi global adalah lebih baik daripada diramalkan pada Jun, kata jurucakap Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) semalam, memberikan petunjuk ramalan pertumbuhan oleh pertubuhan itu akan dinaikkan pada bulan depan.

“Data terbaharu mencadangkan prospek mungkin kurang teruk daripada diramalkan dalam laporan Prospek Ekonomi Dunia yang disiarkan pada Jun, beritahu jurucakap Gerry Rice kepada wartawan. Tatkala koronavirus melanda seluruh dunia, ahli ekonomi telah dipaksa mengubah ramalan pertumbuhan mereka. IMF dijangka mengemaskini prospek globalnya pada 13 Oktober, walaupun Rice tidak mendedahkan butir-butir mengenai ramalan baharu itu.

Dalam ramalan Jun, tabung itu berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan merosot 4.9 peratus dan virus akan menghapus AS$12 trilion dalam tempoh dua tahun. Bagaimanapun, China dan beberapa ekonomi maju lain mencatat keputusan lebih baik daripada dijangka dalam suku kedua 2020, menurut Rice, sebahagiannya disebabkan pelonggaran sekatan selepas penutupan pada awal tahun.

“Kami juga melihat tanda-tanda perniagaan global mulai berpulih secara beransur-ansur,” kata Rice.

Dalam satu ruangan akhbar pada awal bulan ini, ketua IMF Kristalina Georgieva dan ketua ahli ekonomi Gita Gopinath berkata kerajaan harus menyokong pekerja dan perniagaan memandangkan ciri-ciri krisis mungkin mencetuskan aliran kemuflisan dan pemusnahan pekerjaan. – AFP