IMF ramal ekonomi Iran merosot

DUBAI, 9 Okt – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini meramalkan ekonomi Iran akan berada dalam keadaan debit disebabkan sekatan AS baharu tetapi meramalkan perkembangan pertumbuhan Saudi di sebalik pengeluaran minyak yang lebih tinggi.

Dalam Prospek Ekonomi Dunia, IMF berkata ekonomi republik Islam yang bergantung pada minyak itu dijangka mengecut sebanyak 1.5 peratus pada tahun ini dan sebanyak 3.6 peratus pada 2019.

Pada Mei, sebelum Presiden AS Donald Trump mengumumkan pelaksanaan semula sekatan ke atas Tehran, IMF telah meramalkan ekonomi Iran akan bertumbuh sebanyak 4 peratus pada 2018 dan sekali lagi pada tahun depan.

IMF berkata ekonomi Iran kini dijangka mengecut dalam tempoh dua tahun akan datang disebabkan pengeluaran minyak yang berkurangan, sebelum kembali kepada pertumbuhan positif pada tahun 2020-23.

Trump mengeluarkan Amerika Syarikat daripada perjanjian nuklear 2015 di antara Iran dan kuasa dunia pada Mei dan pentadbirannya mengenakan semula sekatan ke atas republik Islam itu pada Ogos.

Eksport minyak mentah Iran, yang mencecah kira-kira 2.5 juta tong sehari, telah merosot lebih separuh juta dan dijangka merosot seterusnya apabila sekatan ke atas minyak dikuatkuasa pada bulan depan, menjejas sumber utama pendapatan Tehran.

IMF juga mengurangkan ramalan pertumbuhan untuk rantau Timur Tengah dan Afrika Utara disebabkan kemelesetan dalam ekonomi Iran dan kenaikan kos minyak.

Ia kini meramalkan rantau MENA akan bertumbuh sebanyak 2 peratus pada tahun ini dan 2.5 peratus pada 2019, 1.2 peratus dan 1.1 peratus lebih rendah masing-masing, berbanding ramalannya pada April. – AFP