Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    IMF: Sekatan beri kesan Timur Tengah

    DUBAI, 29 April – Sekatan AS ke atas Iran, pergolakan yang meningkat di Timur Tengah dan Afrika Utara serta turun naik harga minyak sedang menghambat pertumbuhan ekonomi serantau, kata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) hari ini.

    IMF mengingatkan dalam laporan prospek ekonomi setengah tahunan bahawa prospek untuk rantau itu ‘disurami tahap ketidakpastian yang tinggi’.

    “Ketidakpastian sedemikian mungkin menambah tanggapan risiko oleh pelabur untuk seluruh rantau, sekali gus membawa kepada aliran keluar modal dan tekanan tukaran kadar,” kata pemberi pinjaman global itu.

    IMF meramalkan ekonomi di Iran, kedua terbesar di rantau di belakang Arab Saudi, akan mengecut sebanyak 6 peratus pada tahun ini selepas merosot sebanyak 3.9 peratus pada tahun 2018.

    Berita buruk untuk Tehran muncul selepas Amerika Syarikat mengenakan semula sekatan pada tahun lalu berikutan penarikan diri daripada perjanjian nuklear 2015.

    Jihad Azour ketika ditemu bual oleh AFP di Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai pada 28 April. – AFP

    Jihad Azour, pengarah IMF Timur Tengah dan Asia tengah, berkata ramalan teruk itu dibuat sebelum AS memperketat langkah-langkah yang menyasarkan industri minyak Iran pada minggu lalu, bermakna masalah yang dihadapi mungkin bertambah teruk.

    Azour memberitahu AFP bahawa sekatan telah pun mendesak inflasi di Iran naik kepada kira-kira 50 peratus.

    Masalah Iran mempunyai kesan susulan ke atas angka serantau.

    Pada keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka kekal pada 1.3 peratus pada tahun ini daripada 1.4 peratus pada 2018.

    Untuk pengeksport minyak, pertumbuhan merosot pada 0.4 peratus untuk tahun 2019, sementara import negara dijangka bertambah pada 3.6 peratus pada tahun ini, daripada 4.2 peratus pada 2018.

    Negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) – Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu – diramalkan menentang trend berkenaan, meningkat kepada pertumbuhan 2.1 peratus daripada 2.0 pada 2018. IMF berkata pertumbuhan ekonomi di rantau lain turut menerima kesan negatif akibat konflik meningkat, rasuah, reformasi perlahan, paras hutang tinggi, dan turun naik harga minyak berterusan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda