BEIJING, 19 Feb – Tabung Mata Wang Antarabangsa berkata hari ini ia dan rakan lain telah bersetuju mengenai syarat-syarat pakej pinjaman berjumlah lebih daripada AS$5 bilion kepada kerajaan Mongolia untuk membantu memulihkan ekonomi negara Asia utara itu.
Perjanjian adalah tertakluk kepada kelulusan daripada lembaga eksekutif IMF, yang dijangka menimbang permintaan Mongolia pada Mac.
Menurut syarat-syarat yang dipersetujui oleh kerajaan Mongolia dan duta IMF, IMF akan memperuntukkan AS$440 juta dalam tempoh tiga tahun.
Bank Pembangunan Asia, Bank Dunia, Jepun dan Korea Selatan dijangka memperuntuk AS$3 bilion, dan Bank Rakyat China dijangka melanjutkan swap line berjumlah 15 bilion RMB dengan Bank Mongolia untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, kata kenyataan IMF.
Ekonomi Mongolia telah pun terjejas teruk dalam beberapa tahun ini akibat kemerosotan mendadak dalam harga komoditi dan kejatuhan pelaburan asing.
Hutang negara Mongolia kini mencecah AS$23 bilion, atau dua kali lebih daripada pengeluaran ekonomi tahunan, dan bayaran AS$580 juta kepada pemegang bon asing dijangka keluar pada 21 Mac.
Kenyataan IMF berkata perjanjian pinjaman akan bermakna Mongolia perlu memperkukuh sistem perbankan dan melaksanakan pembaharuan fiskal untuk memastikan disiplin belanjawan dikekalkan.
Pada umumnya, syarat-syarat yang diperlukan oleh IMF untuk pinjaman sedemikian sering mencetuskan aduan dalam negara peminjam bahawa syarat-syarat menjejaskan penduduk miskin atau pertumbuhan ekonomi dengan mengurangkan perbelanjaan sosial atau pelaburan dalam kemudahan awam.
Menambah kepada masalah Mongolia adalah musim sejuk luar biasa untuk tahun kedua berturut-turut, yang diingatkan oleh Palang Merah pada minggu lalu akan menjejas mata pencarian lebih daripada 150,000 gembala nomad dan ahli keluarga mereka. – AP