IMF: Waspada pinjaman China

WASHINGTON, 12 April – Pinjaman China yang meningkat kepada negara membangun semakin menjadi tumpuan ketika bebanan hutang yang bertambah dan keadaan membebankan mungkin mencetuskan krisis semakin membimbangkan.

Pemberi pinjaman pembangunan global, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, menggesa ketelusan yang lebih mengenai jumlah dan syarat-syarat pinjaman serta mengingatkan kerajaan supaya jangan bergantung terlalu banyak dengan hutang.

Pada mesyuarat musim bunga kedua-dua institusi semalam, Presiden Bank Dunia yang baharu dilantik David Malpass mengingatkan bahawa ‘17 negara Afrika telah menghadapi risiko hutang yang membimbangkan dan jumlah tersebut semakin meningkat apabila kontrak baharu diterima dan tidak cukup telus’.

Ketua IMF Christine Lagarde berkata jumlah hutang yang tinggi dan jumlah peminjam, yang tidak mematuhi norma-norma antarabangsa, juga merumitkan usaha masa depan untuk menyusun semula hutang negara.

“Bank Dunia dan IMF sedang bekerjasama untuk membawa lebih banyak ketelusan dan mengenalpasti hutang-hutang dengan lebih baik, terma dan syarat, jumlah dan kematangan,” kata ketua IMF itu pada satu taklimat.

“Kami sentiasa menggalakkan peminjam dan pemberi pinjaman supaya mematuhi prinsip hutang yang ditetapkan oleh pertubuhan antarabangsa seperti Kelab Paris dan Kumpulan 20.

Satu laporan IMF yang dikeluarkan minggu ini mengingatkan jumlah hutang pinjaman kerajaan dan korporat yang meningkat di seluruh dunia menimbulkan risiko kepada ekonomi global.

China telah memberikan pinjaman kepada dunia membangun sebagai sebahagian daripada inisiatif ‘jalur dan laluannya’ terutama menumpukan kepada negara yang kaya dengan sumber. – AFP