Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Impak pandemik pemangkin semangat graduan untuk berjaya

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Impian untuk menggenggam segulung ijazah setentunya sesuatu yang dinanti-nantikan bagi setiap graduan setelah sekian lama bekerja keras, memerah tenaga dan fikiran selama beberapa tahun demi mencapai impian dan harapan ibu bapa.

    Begitulah perasaan yang pastinya terselit dalam jiwa setiap graduan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang ke-9, baru-baru ini.

    Sebaik sahaja penulis melangkahkan kaki ke Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pada hari tersebut, semangat berkobar-kobar para graduan begitu terasa. Meski pun separuh wajah mereka ditutupi dengan pelitup muka demi sama-sama melindungi penularan jangkitan COVID-19 namun melalui mata-mata mereka jelas memancar sebuah kegembiraan dengan gagah dan jelita memakai jubah graduan meraikan hari kejayaan bersama.

    “Pastinya kejayaan yang dicapai ini bukan suatu yang mudah, setelah beberapa tahun menabur usaha dan ada kalanya berteman dengan air mata, namun demi meneruskan impian dan cita-cita saya terus melangkah dengan berbekal semangat positif diiringi dengan ketulusan doa kedua orang tua yang tidak putus-putus serta sentiasa ada di sisi selama ini.

    “Dari sudut hati, kejayaan itu bermaksud sebuah kebahagiaan dalam menyelesaikan setiap proses pengajian, lebih-lebih lagi dalam mengakhiri matlamat penyelidikan menerusi projek akhir. Kecintaan diri ini terhadap bidang penyelidikan tidak dapat dinafikan lagi di mana dengan kejayaan ini, ia sememangnya akan membuka lebih banyak peluang kepada diri ini untuk membuat penyelidikan demi sama-sama menyumbang kepada kepentingan negara,” itulah antaranya luahan tulus daripada salah seorang penerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Kimia, Dr Nur Wardhyana binti Haji Yahya.

    Penerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Kimia, Dr Nur Wardhyana.
    Awang Muhd Nazahar Shah selaku penerima Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Teknologi.
    Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Arkitektur, Awangku Mohd Amirol Hisham.
    Dayangku Norhafizah, penerima Ijazah Sarjana Penyelidikan dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik.
    Penerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Kelas Pertama dalam Pengurusan Teknologi, Dayang Rohadatul’aisy.

    Tempuhi cabaran dengan sabar

    Seorang lagi graduan, Dayangku Norhafizah binti Pengiran Haji Muhammad yang mengambil jurusan Sarjana Penyelidikan dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, juga bersyukur kerana menamatkan pengajian dengan jayanya sekali gus memenuhi hasrat kedua-dua ibu bapanya.

    Jelasnya, penyelidikan yang dilakukannya adalah mengenai wireless body sensor networks di mana ianya dapat membuat pemantauan secara maya, boleh digunakan di bahagian penjagaan kesihatan. Penyelidikan ini menggunakan sensor-sensor yang mana proses-prosesnya adalah melibatkan penghantaran, penyimpanan dan membuat analisa data.

    “Pelbagai cabaran pasti ditempuhi, salah satunya ialah ketika menggunakan penggunaan programming language yang digunakan sepanjang penyelidikan dan mengubahsuainya supaya sensor-sensor yang digunakan dapat berkomunikasi antara satu sama lain. Tidak kurang hebatnya juga, cabaran semasa mencari kertas-kertas kerja yang dapat digunakan untuk mendukung penyelidikan saya. Namun segalanya berjalan dengan jayanya berbekalkan kesabaran, kekuatan pemahaman lanjut di samping sentiasa meminta bimbingan kepada penyelia dari semasa ke semasa,” ujarnya dengan nada kesyukuran.

    Kejayaan itu usaha berterusan

    Dalam pada itu, memiliki minat terhadap suatu bidang tidak bermakna seseorang itu akhirnya menjadi pakar dalam bidangnya dan disebut kejayaan namun bagi salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains yang memperolehi Kepujian Kelas Pertama dalam program Pengkomputeraan dan Data Analitik, Awangku Muhammad Wafiy bin Pengiran Haji Amir Isa, kejayaan bagi dirinya adalah satu proses usaha berterusan, adanya doa, sentiasa berfikiran positif, minda yang terbuka, fleksibel, sedia mendepani cabaran dan kreatif.

    “Sesiapa pun boleh dan pasti berjaya. Setiap individu itu memiliki keistimewaan masing-masing. Bagaimana kita mencapai sesuatu mungkin tidak sama dengan rakan-rakan kita. Belajar di universiti boleh mencabar pada mulanya, tapi ada banyak cara-cara praktikal yang boleh diambil untuk meneruskan perjuangan dan menikmati segala pengalaman dengan sebaiknya.

    “Menuntutlah ilmu berpandukan nasihat-nasihat yang pakar dan jangan takut untuk terus mencuba perkara baharu terutama sekali dalam kita menempuhi fasa baharu bergelar mahasiswa dan mahasiswi,” saranannya lagi.

    Impak pandemik cetus cabaran

    Sementara selaku penerima Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Arkitektur, Awangku Mohd Amirol Hisham @ Awangku Han Khairul Anwar bin Pengiran Hassanal turut berkongsi bahawa adapun cabaran yang dihadapinya lebih ketara semasa musim pandemik COVID-19 melanda negara ketika sesi pembelajaran bersemuka beralih kepada dalam talian.

    “Sekitar tahun lalu interaksi pembelajaran terpaksa dilakukan secara maya. Namun semua itu dapat diatasi oleh pihak UTB dan para graduan dengan kaedah alternatif. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang diperoleh selama ini, adalah menjadi harapan diri dan rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk memperoleh kerjaya yang bersesuaian sekali gus bersama menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

    Role-model bagi generasi penerus

    Sebagai penerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Kelas Pertama dalam Pengurusan Teknologi, Dayang Rohadatul’aisy Nabilah binti Irwan dalam kesempatannya turut mengungkapkan makna sebenar kejayaan yang dicapai berkenaan adalah melihat wajah kegembiraan ibu bapa beliau sebagai tanda terima kasih yang tidak terhingga terhadap orang tua yang sudah mendidiknya dari kecil lagi hinggalah sekarang ini.

    “Dengan mendapat kepujian kelas pertama, ianya membuatkan hasil titik peluh saya lebih bermakna dan saya amat bersyukur atas rezeki Allah SWT ini. Di samping itu, saya juga ingin membuktikan kepada generasi-generasi yang akan datang terutama kepada mahasiswa dan mahasiswi supaya berani untuk tampil ke hadapan, dan juga sebagai bekalan semangat kepada adik-beradik saya sendiri bahawa suatu keberhasilan atau kejayaan memerlukan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal,” ucapnya tulus.

    Pentingnya pengurusan masa

    Dalam pada itu, Awang Muhd Nazahar Shah bin Zakaria selaku penerima Ijazah Sarjana Sains dalam Pengurusan Teknologi juga tidak ketinggalan menekankan pengurusan masa yang teratur adalah mustahak diterapkan dalam apa sahaja yang kita lakukan.

    Beliau yang mengikuti pengajian secara kursus dan separuh masa di UTB dan pada masa yang sama juga menjawat kerjaya sebagai pensyarah di Kolej IGS, di mana platform dalam talian telah menjadi rutin hariannya lebih-lebih lagi semasa menempuhi krisis kesihatan.

    “Kesibukan pasti dilalui, pada waktu pagi dan petang, saya membahagikan masa dengan menyediakan bahan-bahan pengajaran bagi para pelajar mahu pun menjalani pengajaran maya bersama mereka. Manakala pada waktu malam pula, saya akan meneruskan pembelajaran dalam talian. Oleh itu, pengurusan masa yang baik adalah segalanya agar apa sahaja yang kita lakukan berjalan dengan lancar seperti yang diinginkan.

    “Saya amat mengesyorkan agar setiap pelajar UTB dan yang menuntut di mana-mana untuk sentiasa mencari ilmu dan rebut setiap peluang, dan sentiasa berikan 100 peratus kegigihan kita dalam apa yang dolakukan. Jangan malu untuk mendapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dan sentiasa aktif untuk meningkatkan lagi daya saing agar lebih marketable,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...