Impian gelaran juara dunia semakin jauh bagi Quartararo

KUALA LUMPUR, 19 OKT – Pelumba Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo menerima tamparan hebat dalam memburu kejuaraan sulung MotoGP Dunia musim ini selepas hanya menduduki tempat ke-18 daripada 20 pelumba pada Grand Prix (GP) Aragon di Sepanyol, hari ini.

Pelumba Perancis berusia 21 tahun yang memulakan saingan di petak utama bergelut dengan masalah tayar selain terbabas dalam sesi kelayakan semalam, akhirnya menamatkan saingan dengan catatan masa 42 minit 15.889 saat.

Rakan sepasukan Franco Morbidelli dari Itali menduduki tangga keenam dengan catatan masa 41:59.147s.

Keputusan hari ini menyaksikan Quartararo terpaksa menduduki tangga keduakeseluruhan MotoGP Dunia kepada pendahulu Joan Mir daripada pasukan Suzuki Ecstar yang menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dengan catatan masa 41:57.035s.

Pelumba Sepanyol itu mendahului buruan gelaran juara dunia dengan mengumpul 121 mata dan 115 mata oleh Quartararo. – Bernama