Tiada apa lebih menggembirakan buat pelakon veteran, Fauziah Nawi, 69, apabila pengorbanan dan penat lelah bergelut dengan buku selama tiga tahun berbayar apabila dikurniakan Anugerah Pencapaian Industri Kreatif Diploma Kemahiran Malaysia Koordinasi Pengarahan Filem pada Majlis Istiadat Konvokesyen MEATECH 2022, baru-baru ini.
Meskipun pernah terdetik rasa menyesal dan hampir sahaja menamatkan pengajian separuh jalan, namun Fauziah berkata, dia gagahkan juga menghadapi cabaran demi masa depan.
“Saya tidak pernah melanjutkan pelajaran, sebelum ini. Saya terus bekerja selepas tamat persekolahan Tingkatan 5. Bayangkan bagaimana situasi apabila pada usia 60an masih sambung belajar.
“Sejujurnya, memang sukar kerana saya perlu menyiapkan banyak kertas kerja dan pembentangan iaitu satu perkara yang cukup asing buat saya.
“Nyata, pengalaman sahaja tidak memadai kerana saya perlu menghasilkan kertas kerja bertaraf akademik. Selagi tidak menepati piawaian ditetapkan, saya kena memperbaikinya sehingga panel penilai berpuas hati.
“Keadaan ini membuatkan saya hampir putus asa. Namun, atas nasihat anak dan adik-beradik yang menyedari betapa penting kelayakan akademik, saya teruskan juga perjuangan ini,” katanya.
Fauziah menerima anugerah pada Majlis Istiadat Konvokesyen MEATECH 2022 ke-12 di Dewan Besar Kampo, Pusat Belia Antarabangsa Cheras di ibu negara, kelmarin.
Ia disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Syirfan Indra Mitra Surya Hussin. – Agensi
