Impian hasilkan aroma dari angkasa lepas

MONTEGUT-LAURAGAIS, PERANCIS – Beliau mungkin tidak pernah memakai sut angkasa lepas ataupun terbang menaiki kapal angkasa lepas tetapi ia tidak menghalang warga Perancis Michael Moisseeff daripada mencapai impiannya.

Selepas bertahun-tahun meninjau dan membina semula aroma planet Bumi, lelaki berusia 66 tahun yang dikenali sebagai‘pengarca aroma’ itu menetapkan matlamat baharu untuk dirinya, iaitu mengabadikan aroma bulan.

Moisseeff, dengan kemeja berbunga-bunga dan rambut uban diikat di belakang kepalanya, tergolong di antara artis dan saintis tatkala beliau memindah beribu-ribu bebuli yang terletak di dalam makmalnya.

Di sinilah ahli genetik bertauliah itu menyempurnakan kerja-kerjanya menganalisis dan mengkaji dengan teliti misteri bau-bauan dan menghasilkan pelbagai jenis aroma, haruman dan pancaran dari molekul.

“Untuk mencipta semula bau semak atau belukar, misalnya, anda perlu pergi ke tempat itu terlebih dahulu,” katanya.

Ahli genetik dan ‘pengarca aroma’ Moisseeff menghidu botol ketika beliau bercakap mengenai uji kajinya di makmal rumahnya di Montegut-Lauragais berhampiran Toulouse, Perancis. – AFP
Michael Moisseeff memeriksa tumbuhan di kebun rumahnya di Montegut-Lauragais berhampiran Toulouse, barat daya Perancis. – AFP

“Adakah terdapatnya lumut di sana? Liken? Lembapan? Saya mencatat inventori dan membawa elemen saya bersama seperti seorang pelukis dengan pelet warnanya. Kemudian saya membuat ukuran setiap bahan untuk berusaha seberapa daya untuk memperhalus bau berkenaan.”

Malangnya bulan tidak dapat diakses dengan mudah seperti belukar dan Cite de I’Espace (Bandar Angkasa Lepas) di Toulouse ‘tidak mahu membayar untuk perjalanan tersebut,’ kata Moisseeff secara berseloroh. Satu-satunya cara beliau dapat menghasilkan gambar bau-bauan dalam hidungnya – alat utama untuk kerjanya – adalah membaca mengenai deskripsi yang diceritakan oleh pelbagai angkasawan yang berjalan di bulan, terutamanya Neil Armstrong, lelaki pertama yang berjaya melakukannya pada tahun 1969.

“Disebabkan kekurangan oksigen di bulan, beliau (Armstrong) jelasnya tidak dapat menghidu apa-apa tetapi sebaik sahaja kembali dalam kapal angkasa lepas, bau debu yang terdapat pada sut angkasa lepasnya mengingatkan beliau tentang serbuk hitam hangus terbakar daripada sepucuk pistol,” kata beliau.

Untuk menghasilkan semula bau tersebut, Moisseeff memilih untuk meledakkan serbuk hitam dalam kuali lepernya sendiri. Selepas beberapa percubaan yang gagal – dan beberapa kejutan – beliau akhirnya berjaya dalam ‘menawan’ sisa hangus. Seterusnya, sebaik sahaja beliau telah mengusahakan jenis bau yang dicarinya, ahli alkimia era moden ini memulakan kerja-kerja mencari catatan yang betul untuk menyempurnakan bau-bauan tersebut.

Campuran logam, karbon dan sulfur disebatikan untuk merangsang deria bau dan juga imaginasi.

“Bau luar biasa ini yang dihasilkan semula daripada deskripsi pelbagai angkasawan membangkitkan aroma yang kami ketahui seperti serbuk letupan dan abu serombong, namun ia tidak bermakna kami tidak akan menemuinya di bulan,” kata Xavier Penot, perantara saintifik di Cite de I’Espace di Toulouse dan lelaki di sebalik idea tersebut. Manusia mempunyai kira-kira 260 sensor bau yang terletak di organ olfaktori mukosa, organ bau yang terletak di bahagian atas rongga hidung.

“Aroma timbul apabila molekul bertemu dengan sensor dalam olfaktori mukosa anda, sekali gus menghasilkan satu isyarat yang akan mencetuskan satu sensasi dalam diri anda,” jelas Moisseeff.

“Dan perasaan ini bersifat individu, bergantung pada genetik dan pengalaman setiap orang.”

Moisseff sering digambarkan sebagai seorang ‘pengarca aroma’ dan beliau pastinya tidak segan daripada mengaitkan kerjanya dengan seni kreatif lain, dengan hidungnya menjadi alat paling penting beliau.

“Bau adalah sama seperti muzik, anda perlu melakukan penalaan sepanjang masa,” katanya.

‘Artis saintis’ ini malah mempamerkan hasil kerjanya dalam pelbagai cara yang biasa diadakan oleh artis kontemporari – beliau telah lama mengadakan pameran dan pengalaman haruman dalam pondok telefon, seluruh kampung ataupun dewan persembahan atas permintaan muzium, persatuan atau syarikat.

Malah beliau mengendalikan latihan dan bengkel ‘menguji haruman’ untuk sesiapa yang mahu memanfaatkan deria hidu mereka.

Cabaran Moisseeff seterusnya membawa beliau kembali ke zaman Pembaharuan tatkala beliau berusaha membina semula aroma Mona Lisa, atau sekurang-kurangnya persekitaran beliau. Ia akan menjadi ‘kerja siasatan dan penyelidikan sejarah yang amat teliti,’ kata beliau dengan perasaan teruja.

Jika beliau berjaya, mungkin Moisseeff akhirnya akan membongkar rahsia di sebalik senyuman terkenal itu. – AFP