Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Impian kahwin hancur lebur akibat banjir

    FAZILPUR, PAKISTAN – Pemandu trak dan bapa kepada tujuh orang anak, Mureed Hussain merancang majlis perkahwinan anak perempuannya pada Oktober apabila air banjir menenggelami rumahnya, menghanyutkan seluruh dinding belakang dan bersama, hantaran kahwin yang disimpan bertahun-tahun lamanya.

    “Saya telah mengumpul hantaran kahwin hampir tiga tahun lalu,” beritahu Hussain kepada AFP dari laman belakang rumah empat biliknya, yang dikongsi bersama keluarga adiknya.

    “Saya akan menyediakan perbelanjaan untuk rumah dan juga menghabiskan sedikit untuk hantaran kahwin anak saya.”

    Hujan monsun yang lebat telah mencetuskan banjir teruk di seluruh Pakistan sejak Jun, membunuh lebih daripada 1,200 orang dan meninggalkan hampir satu pertiga daripada negara ditenggelami banjir, sekali gus menjejaskan kehidupan 33 juta penduduk.

    Golongan yang paling teruk terjejas adalah penduduk miskin di kawasan luar bandar negara, yang telah melihat rumah, harta-benda mereka, wang simpanan dan hasil tanaman dihanyutkan.

    Penduduk yang terjejas akibat banjir melintasi landasan kereta api yang rosak akibat banjir di kawasan Fazilpur ekoran hujan lebat di daerah Rajanpur, wilayah Punjab. – AFP
    Mureed Hussain duduk bersama perabot hantaran kahwin anak perempuannya Nousheen, yang rosak akibat banjir di rumahnya di Fazilpur, wilayah Punjab. – AFP
    Keluarga Nosheen meletakkan hantaran kahwinnya untuk dikeringkan, yang rosak akibat air banjir di rumahnya. – AFP

    Kampung Hussain di wilayah Punjab amat teruk terjejas, dengan air banjir memusnahkan atau merosakkan puluhan bangunan. Juga dihanyutkan adalah rancangan perkahwinan untuk anak perempuan Hussain, Nousheen.

    Setiap bulan, Hussain akan memperuntukkan beberapa ribu rupee untuk hantaran kahwin anak perempuannya daripada gajinya 17,000 rupee yang diperoleh daripada memandu trak.

    Sudah menjadi kelaziman untuk keluarga di Pakistan menyediakan hantaran kahwin yang mewah apabila seorang anak perempuan berkahwin.

    Di kebanyakan kawasan, ibu bapa dijangka mula menabung untuk hantaran kahwin anak perempuan mereka dari hari mereka lahir.

    Sementara meminta hantaran kahwin yang mahal sudah diharamkan secara rasmi oleh undang-undang, namun masih ramai keluarga yang tetap mengamalkannya.

    Keluarga pengantin lelaki sering memberikan ibu bapa bakal menantu perempuan mereka dengan senarai permintaan yang panjang – termasuk perabot, barangan rumah dan pakaian.

    Dalam kes keluarga yang berada, ia juga boleh termasuk kereta dan rumah.

    Gagal memenuhi permintaan barangan tersebut dianggap memalukan, dan bakal pengantin perempuan selalunya berdepan layanan buruk oleh mertuanya jika hantaran kahwin tidak disediakan.

    “Saya ingin mengahwinkan dua anak perempuan saya yang lain selepas Nousheen dan seorang anak lelaki,” kata Hussain.

    “Saya fikir saya boleh melakukannya secara beransur-ansur.”

    Apabila banjir melanda rumahnya, Hussain melarikan diri bersama isteri dan keluarga ke stesen kereta api berhampiran di kawasan yang lebih tinggi.

    Apabila air banjir surut, Hussain mengharungi lumpur dua hari lalu dan pulang ke rumahnya bersama isteri dan anak perempuannya.

    “Mereka mula menangis apabila melihat rumah yang rosak,” ujarnya.

    Isterinya, Sughra Bibi, menangis sekali lagi ketika dia mengenangkan rasa terkejutnya melihat keadaan rumah – dan hantaran kahwin anak perempuannya.

    Dalam tempoh beberapa tahun lalu, Sughra telah membeli set katil yang ditempah khas dan meja solek, selain alat membuat jus, mesin cuci, seterika, cadar dan kuilt.
    Kini segala-galanya telah rosak akibat air banjir.

    “Ia telah menjadi hitam, maka sesiapa yang melihatnya akan berkata kami memberikannya barang lama,” kata Sughra. Dengan majlis perkahwinan dibatalkan, Nousheen masih menghadapi situasi dengan berani.

    “Ia sepatutnya satu masa yang gembira untuk keluarga saya, dan saya berasa amat seronok.

    “Saya melihat betapa sukar ibu bapa saya menyimpan wang untuk hantaran kahwin ini untuk saya. Sekarang mereka perlu melakukannya sekali lagi,” beritahu wanita berusia 25 tahun itu.

    “Ia merupakan satu masalah besar untuk kami sekarang,” kata Hussain.

    “Haruskah kami membina semula rumah kami, menanam benih gandum atau mengahwinkan anak-anak kami? Kesemua tiga perkara ini adalah amat penting bagi kami.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...