Impian Macron untuk Eropah

PARIS, 19 Mei – Presiden Perancis Emmanuel Macron melihat dirinya sebagai penyelamat Eropah dan pilihan raya Parlimen Eropah pada minggu ini sebagai faktor penentu untuk Kesatuan Eropah.

Namun Macron bukan lagi wajah kuasa baharu yang memperoleh kemenangan presiden mengejutkan diiringi nyanyian lagu kebangsaan EU dua tahun lalu. Wawasan pro-Eropah beliau telah bercanggah dengan populis dan kepentingan nasional di seluruh benua. Dan di negara sendiri, wawasan politik beliau telah mencetuskan pemberontakan baju kuning Perancis disebabkan dasar pro-perniagaan kerajaan.

Macron mahu pilihan raya Parlimen Eropah pada 23 hingga 26 Mei menjadi kunci yang membolehkan beliau meneruskan cita-citanya untuk mewujudkan Eropah yang lebih kuat, namun sebaliknya, nasionalis dan populis yang mengkritik blok 28 negara itu mungkin mencatat kejayaan besar.

Mereka berkata pemimpin EU telah gagal mengendali penghijrahan ke benua dan masih belum menyelesai masalah pekerja biasa.

“Kami menghadapi krisis Kesatuan Eropah. Ia adalah satu hakikat. Semua tempat di Eropah, apabila anda melihat dalam masa enam hingga lapan tahun lalu, dalam negara kami dan di banyak negara, pelampau semakin meningkat,” kata Macron pada Khamis, merayu perpaduan Eropah ketika bercakap mengenai isu sampingan pada pameran perniagaan teknologi.

“Mengenai mata wang, digital, tindakan iklim, kami memerlukan lebih banyak Eropah,” kata beliau. “Saya mahu EU bersifat lebih melindungi sempadan kami berhubung penghijrahan, keganasan dan sebagainya, namun saya fikir jika anda memecahkan Eropah, tidak adanya peluang anda mempunyai Eropah yang lebih kuat.”

Macron telah melawat 20 daripada 28 negara Eropah dalam tempoh dua tahun beliau menjadi presiden, dan sementara beliau mengiktiraf masalah EU, beliau mahu menyatukan blok, bukan memecahnya. – AP

Presiden Perancis Emmanuel Macron bergambar bersama penyokong di Biarritz, barat daya Perancis pada 17 Mei 2019. – AP