Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impian masa depan yang lebih baik, adil di St Martin

    QUARTIER D’ORLEANS, St Martin – Pulau Caribbean St Martin adalah sebuah tempat yang menakjubkan sebelum Taufan Irma membadai kawasan kejiranan yang kaya dan miskin itu – tetapi sebahagian penduduk kini menginginkan suatu permulaan hidup yang baru.

    ‘Sebuah Kawasan Tanah Kontras! Inilah yang digambarkan oleh pihak berkuasa Perancis – yang mentadbir separuh bahagian utara pulau itu yang telah dihancurkan oleh taufan kategori lima baru-baru ini – dalam laporan tahun 2016.

    Pulau itu tidaklah sebesar Manhattan di mana separuh daripada kawasan selatannya adalah dimiliki oleh Belanda. Dan ia juga didiami oleh golongan jutawan. Presiden AS Donald Trump adalah antara golongan kaya yang memiliki hartanah persendiriannya di pulau itu, manakala enam dari 10 jirannya di bahagian Perancis menerima bantuan kerajaan.

    Rumah-rumah kayu memenuhi kawasan tersebut, namun rumah-rumah mewah juga banyak kelihatan dan didirikan. Kini frasa berbunyi ‘Semua orang kini sama dan sekata’ telah menjadi bualan kebanyakan penduduk.

    Di Quartier-d’Orleans, salah satu kawasan termiskin di pulau itu di mana pondok berbumbungkan besi telah rosak teruk seperti ‘tin minuman’.

    Bekas-bekas runtuhan kelihatan berselerak di jalan raya selepas pulau itu dibadai oleh Taufan Irma. – AFP
    Tanda yang dilukis oleh penduduk selepas pulau itu dibadai oleh Tuafan Irma di Quartier d’Orleans di pulau Caribbean Perancis, Saint Martin. – AFP

    Ibu kepada tiga orang anak, Nicaise Jasaron, membayangkan bahawa St Martin memerlukan pembaharuan dan pembaikan.

    Pekerja am menyenaraikan aduan tentang kehidupan sebelum taufan melanda: Padat, harga hartanah melonjak naik, pendatang dari pulau-pulau lain yang dikatakannya membawa dadah, senjata api dan pelacuran.

    “Walau apa pun, pulau ini tidak lagi sesak dan padat buat masa ini,” katanya.

    Penduduk St Martin meningkat tiga kali ganda semasa ledakan pembinaan pada tahun 1980 – tetapi sehingga 1,000 orang telah meninggalkan pulau ini sejak ribut melanda, ramai yang kehilangan mata pencarian mereka di sebuah pulau yang hampir sepenuhnya bergantung kepada pelancong yang tertarik dengan pantainya yang cantik dan membeli-belah bebas cukai.

    Dengan pembinaan semula yang akan dilaksanakan, “ini mungkin peluang kami untuk mempunyai lebih banyak pekerjaan, dan mungkin untuk membeli tanah,” kata Jasaron, yang tidak pernah mampu membeli sebuah rumah.

    Menyeberangi sempadan ke bahagian Belanda, Sint Maarten, Menteri Dalam Negeri, Ronald Plasterk telah berkata bahawa kawasan paling miskin sangat terjejas setelah Irma ini.

    “Perbezaannya semakin membesar disebabkan oleh taufan itu, kerana bangunan-bangunan terbaik di pulau ini kurang mengalami kerosakan berbanding di kawasan Wilayah Tengah Philipsburg yang merupakan kawasan pekerja yang memiliki rumah berkualiti rendah.”

    Dalam mana-mana kes, sebahagian daripada kisah-kisah dua pulau: pelawat-pelawat ke St Martin, yang mempunyai 80,000 penduduk, sering mengulas mengenai perbezaan yang sangat ketara antara bahagian Perancis dan Belanda.

    St Martin Perancis adalah kurang maju daripada Sint Maarten, yang mempunyai kelompok pusat membeli-belah dan kasino serta menyaksikan trafik dari kapal-kapal pesiar Amerika Syarikat.

    Keping kayu kelihatan terikat pada salah sebuah rumah untuk melindungi kereta yang ada didalamnya. – AFP
    Penduduk membeli barangan mereka di salah sebuah kedai melalui grid penghadang di Quartier d’Orleans selepas pulau itu dilanda Taufan Irma. – AFP

    Perbandingan pendapatan per kapita sebanyak AS$66,800 di bahagian Belanda pada tahun 2014, pihak berkuasa telah meletakkan angka bersamaan di bahagian Perancis 14,700 euro (AS$17,500) pada tahun 2010. Seperti kebanyakan pulau di kawasan Caribbean, kos kehidupan di sana secara relatifnya sangat tinggi kerana kebanyakan produk pengguna adalah diimport.

    Namun Taufan Irma tidak membezakan antara kaya dan miskin dalam menghancurkan segala-galanya. Taufan itu telah menimbulkan kekacauan di bahagian Perancis dan Belanda. Di Terres Basses di kawasan hujung barat bahagian Perancis – rumah kepada vila Trump – usaha pembersihan masih belum dimulakan.

    “Kami menunggu pihak insurans untuk melihat kerosakan yang ada pada masa ini,” kata Greg Hilaire, pengawal di salah sebuah hartanah mewah yang dikelilingi dengan pagar dinding tinggi dan kamera CCTV.

    “Dalam kawasan kejiranan ini, 95 peratus daripada vila-vila yang ada musnah,” kata seorang ejen estet di Carimo, yang pakar dalam jualan hartanah mewah bernilai tujuh dan lapan angka.

    Agen hartanah, yang memberikan namanya hanya sebagai Gerald berkata bahawa kemusnahan ini akan mengurangkan ketidaksamaan, tetapi pihak berkuasa yang dicadangkan akhirnya dapat membina perumahan sosial yang lebih baik dan menghapuskan tuan tanah di daerah miskin itu.

    Dengan semua pembinaan semula yang diperlukan, penasihat pembelajaran setempat, Roger Annerose, menggesa sektor pembinaan bahawa agar dapat melabur dalam aspek latihan penduduk – kebanyakannya mungkin bergantung kepada bantuan kerajaan sebelum ini.

    Dengan cara ini, dia mencadangkan, “mereka mungkin akhirnya mempunyai kerjaya”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda