Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impian menjadi mimpi ngeri?

    Ulasan buku oleh Raz AS

    PASANGKAN tali keledar anda dan bersedia untuk mengharungi sebuah antologi mengenai kisah-kisah bergolak yang diceritakan oleh penulis legenda yang tidak asing lagi, Stephen King dan Bev Vincent.

    Antologi terbaru yang menarik ini, sangat sesuai dibaca sama ada ketika anda menunggu penerbangan anda di lapangan terbang atau ketika berada di dalam pesawat, diisikan dengan pengenalan dan nota bagi setiap kisah daripada Stephen King, bersama-sama kisah-kisah baharu penulis itu dan Joe Hill.

    Buku ini diterbitkan kerana Stephen King adalah seseorang yang tidak suka menaiki kapal terbang. Kini bersama-sama dengan penyunting bersamanya, Bev Vincent, mereka ingin berkongsi ketakutan untuk terbang ini bersama anda semua.

    Selamat datang ke Flight or Fright, sebuah antologi mengenai kisah-kisah yang menakutkan ketika anda berada di ketinggian enam batu di udara, membelah awan dengan kelajuan 500 batu sejam dan terperangkap dalam tiub besi, seumpama keranda, bersama ratusan orang-orang yang tidak dikenali.

    Perjalanan yang selama ini anda impikan boleh menjadi sebuah mimpi ngeri, termasuk sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran anda. Namun kini setiap kali anda melangkahkan kaki menuju ke pesawat, bayangannya akan sentiasa menghantui kerana anda meletakkan nasib sendiri di atas tangan orang yang sama sekali tidak anda kenali.

    Menampilkan kisah-kisah baharu daripada Joe Hill dan Stephen King, bersama-sama 14 kisah klasik dan sebuah puisi daripada Richard Matheson, Ray Bradbury, Roald Dahl, Dan Simmons dan banyak lagi, buku Flight or Fright adalah sebuah buku yang digambarkan oleh King sendiri sebagai sebuah bahan bacaan ideal semasa berada dalam pesawat, lebih-lebih lagi ketika penerbangan yang bergolak.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda