Impian niaga di tanah suci

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR – Walaupun didiagnos dengan penyakit sakit tulang belakang yang teruk (Degenerative Lumber Prolapse) pada 1995 namun Md Sabidi Abdullah, 70, berjaya membuktikan kesakitan dan faktor umur bukanlah penghalang untuk beliau menjadi usahawan yang berjaya.

Md Sabidi yang kini mengusahakan restoran Mi Masjid bersebelahan Masjid Firdaus, Segambut dengan dibantu oleh dua orang anak lelakinya sejak 2010 itu berkata penyakit yang membuatkan beliau berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) itu bukan alasan untuk tidak bekerja.

Malahan lebih membanggakan, usaha gigih Md Sabidi mengusahakan perniagaannya walaupun menghadapi sakit kepala setiap kali bergerak terbukti menjadi inspirasi kepada semua apabila beliau dinamakan sebagai salah seorang Tokoh Usahawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada majlis Semarak Syawal MAIWP, awal Julai lalu.

Antara kejayaan beliau ialah melalui perniagaan mi yang dihasilkan sendiri di restorannya untuk para pelanggan dan pembeli tempatan di sekitar Kuala Lumpur, beliau kini mampu meraih keuntungan kasar sekitar RM19 ribu sebulan.

Menceritakan mengenai resipi Mi Masjid yang menjadi tanda dagangannya, Md Sabidi berkata beliau menggunakan ‘bahan rahsia’ ketika mengadunkan kesemua bahan yang diperlukan untuk membuat mi mentahnya.

Penerima Anugerah Tokoh Asnaf Md Sabidi Abdullah (lima, kanan) merupakan pengusaha restoran Mi Masjid bersebelahan Masjid Firdaus, Segambut. – Bernama

“Jika kita tanya pengusaha mi yang lain, mereka pasti akan jawab yang bahan yang digunakan untuk membuat mi sebenarnya lebih kurang sama sahaja iaitu tepung gandum, air, garam dan gula tetapi untuk resipi saya, saya turut menggunakan soda ash atau air abu buatan sendiri bagi memberikan rasa kelainan.

“Air abu ini akan membuatkan mi lebih tahan lama, lebih kenyal dan tidak mudah putus ketika proses pembuatannya. Saya bagaimanapun tidak menggunakan bahan batu kapur kerana jika kita lihat mi yang bertukar menjadi warna merah ketika dicurahkan kuah, bermakna mi itu terdapat batu kapur dan ianya tidak baik untuk kesihatan bagi jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, air abu dan produk mi buatannya dijamin selamat kerana dihantar beberapa kali untuk diuji kaji di beberapa makmal di Kelana Jaya dan Bangi bagi membuktikan beliau tidak menggunakan bahan-bahan kimia terlarang. Beliau turut berkata resipinya tidak menggunakan batu kapur walaupun kosnya sangat murah kerana tidak ingin membahayakan nyawa para pelanggannya.

Restoran Mi Masjid dibuka setiap hari kecuali Ahad. Sewaktu penulis datang menemui Md Sabidi, restoran itu mula dipenuhi pelanggan walaupun baru sahaja dibuka. Mengikut pengamatan penulis, restorannya itu boleh memuatkan sekitar 40 orang pelanggan dalam satu-satu masa.

Menurut salah seorang pelanggan yang mahu dikenali sebagai Bard, 35, antara menu popular yang sering menjadi pilihannya ialah Mi Bandung Special. Terdapat bebola daging dan keju cair serta dilengkapi dengan kuahnya yang rasa manis-manis pedas, malahan harganya juga berpatutan.

Beliau yang bekerja sebagai pemandu bas turut berkata antara sebab lain membuatkan beliau gemar datang ke Restoran Mi Masjid ialah kerana layanan baik Md Sabidi dan pekerjanya terhadap pelanggan serta servisnya yang bersih dan pantas.

Md Sabidi turut berkongsi pengalaman jatuh bangunnya sebagai usahawan. Beliau memulakan perniagaan mi secara kecil-kecilan setelah beliau terpaksa berpencen secara sukarela sebagai pegawai bank akibat sakit tulang belakang yang dihidapinya pada 1995. .

Berbekalkan wang pencen sebanyak RM1,500 sebulan selepas persaraannya, beliau menggunakan duit itu untuk dijadikan modal perniagaannya serta bagi membeli mesin pemprosesan, mesin uli dan mesin merebus mi yang berharga sekitar RM5 ribu kesemuanya.

Setelah melihat perniagaan mi beliau yang semakin berkembang dan mendapat permintaan ramai dari sehari ke sehari, beliau berimpian untuk mengembangkan sayapnya. Beliau lalu meminta bantuan kewangan dari pihak MAIWP bagi membeli peralatan lain untuk memudahkan lagi proses pembuatan mi mentahnya.

“Pada tahun 2017, saya memohon bantuan kewangan daripada MAIWP sebanyak RM15,500 bagi membeli peralatan seperti meja dan kerusi, peti beku dan chiller.

Melalui bantuan inilah perniagaan saya menjadi lebih berkembang dan maju berbanding peringkat awal perniagaan saya. Malahan saya sebagai usahawan berasa bersyukur kerana MAIWP sudi membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan asnaf.

“Nasihat saya supaya jangan mudah mengalah apabila kita susah kerana di sekeliling kita pasti akan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dan memberi semangat,” katanya.

Md Sabidi memasang impian dan sangat berharap untuk membawa perniagaan mi mentahnya hingga ke tanah suci Mekah dan Madinah. Beliau mahu menjadi antara pembekal mi mentah utama buat jemaah haji Malaysia di sana pada masa hadapan. – Bernama