Impian Olimpik bekas juara dunia ‘diragut’

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Persatuan Renang Malaysia (MS) hari ini mengesahkan bekas juara dunia Cheong Jun Hoong (gambar) terlepas tiket beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo, bulan depan.

Setiausaha Agung MS Mae Chan berkata ia susulan Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memutuskan hanya 15 penerjun terbaik dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita di Piala Dunia Terjun FINA 2021 layak ke temasya sukan terbesar dunia itu. Beliau mengakui perkembangan tersebut amat mengecewakan kem terjun negara dan Jun Hoong sendiri yang telah pun ‘melayakkan diri’ di bawah format kelayakan sebelum ini.

“Kami hanya perlu meneruskan latihan beliau seperti biasa dahulu, jika ada beberapa negara yang terjejas teruk dengan COVID-19 dan mereka tidak dapat mengambil bahagian mungkin terdapat slot lagi tetapi apa-apa pun kami hanya perlu tunggu.

“Bukan hanya beliau (Jun Hoong) yang terlepas, ada juga beberapa perenang yang tidak berjaya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada masa sama, Mae berkata nasib malang menimpa Jun Hoong pasti tidak berlaku sekiranya penerjun berusia 31 tahun itu berjaya mara ke final acara kegemarannya itu pada Piala Dunia Terjun FINA 2021 di Tokyo, Mei lepas.

“Malangnya, pada acara separuh akhir, nasib tidak menyebelahi beliau menyebabkan beliau gagal untuk melayakkan diri ke final yang akan memberi jaminan tempat ke Olimpik,” tambah Mae.

Pada kejohanan Piala Dunia Terjun 2021, Jun Hoong menamatkan saingan separuh akhir acara 10m platform individu wanita pada kedudukan terakhir, namun mengesahkan tempat ke Olimpik apabila berada dalam kelompok 18 penerjun terbaik kejohanan itu untuk mengisi slot ke Tokyo.

Bagaimanapun, hujung Mei lepas, FINA memaklumkan jumlah kuota itu dikurangkan kepada 12 penerjun sahaja. – Bernama