Impian Presiden Serbia jadi kenyataan

BELGRADE, 19 JULAI – Presiden Serbia Aleksandar Vucic telah mendaftar di sebuah kolej sukan untuk memenuhi impiannya semasa kecil untuk menjadi jurulatih bola keranjang.

“Untuk kali kedua dalam hidup saya, saya menjadi seorang pelajar…dalam satu impian untuk menjadi jurulatih bola keranjang untuk kanak-kanak,” kata Vucic di Instagram semalam.

“Anda tidak akan percaya betapa gembiranya saya selepas beberapa tahun ini, saya mula mencapai impian masa kecil saya.”

Vucic, 50, seorang siswazah jurusan undang-undang, bergambar bersama buku ID pelajarnya dari kolej sukan dan kesihatan di Belgrade dan sebiji bola keranjang. Vucic memberitahu tabloid prokerajaan pada Jun bahawa impiannya yang tidak tercapai adalah untuk menjadi jurulatih bola keranjang di Serbia.

“Tidak ada apa-apa yang lebih menyeronokkan daripada menghabiskan Sabtu dan Ahad bersama pemain muda, kanak-kanak yang boleh anda ajar,” beritahu beliau kepada akhbar Kurir.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai cita-cita lebih besar, beliau berkata impiannya adalah melatih kanak-kanak dari sebuah ‘kelab kecil.’

Vucic ialah peminat bola keranjang dan bola sepak. Beliau menjadi perdana menteri pada 2014 dan mengambil alih jawatan presiden pada 2017. – AFP