Impian Shila Amzah berduet dengan penyanyi pujaannya iaitu Wang Leehom akhirnya tercapai apabila dia diundang membuat persembahan bersama dalam acara The Free Show yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 35, menyifatkan peluang itu sebagai bukti tidak mustahil dalam merealisasikan sebuah impian.
Malah Shila turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Leehom berkenaan kerana sudi mengundangnya menjadi penyanyi jemputan, menurut laporan mStar.
“Terima kasih kerana menjemput saya, seronok dapat menjadi sebahagian daripada persembahan ini, ia sekali gus membuktikan impian boleh menjadi kenyataan,” katanya.
Shila berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya.
Dalam pada itu, Leehom turut memuji kemantapan vokal Shila dalam nyanyian bersama mereka menerusi lagu berjudul Forever Love.
“Terima kasih yang tak terhingga kepada Shila kerana menjadi tetamu undangan dalam program The Free Show.
“Saya tak pernah menyedari betapa sempurnanya lagu Forever Love ini jika digandingkan bersama penyanyi perempuan.
“Ini kali pertama saya menyusun semula lagu tersebut dan terasa penuh dengan kemesraan serta kasih sayang,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi Suki Low turut meluahkan rasa bangga melihat kolaborasi tersebut dan menyukai persembahan nyanyian mereka.
“Ahhh, saya sangat bangga dengan Shila. Persembahan ini sangat menakjubkan,” ujarnya – Agensi
