Impian tembusi pasaran muzik China

Mengorak langkah selepas menyertai program realiti ketika usia kanak-kanak, penyanyi baharu, Masya Masyitah masih menanti magis untuk mengukir nama sebagai bintang.

Pernah menghasilkan tiga single dan terbaharu Halimunan, Masya, 19, yang juga juara Ceria Popstar musim kedua mengakui, namanya masih belum berada pada kedudukan selesa.

“Saya belum menggenggam sepenuhnya segala impian yang terpendam di hati. Meskipun mula menyanyi sejak kecil, nama saya hanya lebih dikenali selepas meningkat remaja. Dua single terdahulu iaitu, Teman Bintang dan Mawar Terbiar, belum mampu melonjakkan nama saya sebaris penyanyi popular lain. Alhamdulillah, kepercayaan membuat persembahan bersama Sufian Suhaimi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), tahun lalu, memberi impak besar. Perlahan-lahan bakat saya diperhatikan. Lebih manis apabila single ketiga, Halimunan mula diterima ramai. Video muzik lagu itu juga sudah mencatat lebih tiga juta tontonan, sejak dikongsi tahun lalu,” katanya.

Masya atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff yang memiliki kemahiran bertutur dan menyanyi dalam Bahasa Mandarin, turut menyimpan impian menembusi pasaran muzik China.

Peluang itu mula terbuka apabila dipilih berduet dengan penyanyi, Lee Pei Ling menyampaikan lagu tema sempena Sambutan 40 Tahun Persahabatan Malaysia dan China, baru-baru ini.

“Lagu berjudul Zuo Jian yang bermaksud Bahu Kiri itu dinyanyikan dalam dua versi, Melayu dan Cina. Saya juga berlakon dalam drama pendek, Hadiah Kuasa yang menjalani penggambaran di Beijing. Ia disiarkan sebuah saluran berbayar, April lalu dan saya melihatnya sebagai peluang keemasan yang tidak mampu ditolak,” katanya yang pernah merangkul gelaran naib juara Pertandingan Festival Muzik Antarabangsa Hong Kong pada 2016.

Masya berkata, dia tidak kisah jika ada pihak yang meragui kemampuannya. Bukan mahu memperlekehkan industri muzik tempatan, Masya sebaliknya berkata, kemampuan bertutur dalam Bahasa Mandarin membuatkan dia berani mengambil langkah itu. – Agensi

Masya Masyitah sepatutnya menyertai pertandingan di China namun penganjur tidak menerima peserta bertudung. – Agensi