Implementasi pembelajaran dalam talian antisipasi cabaran baharu

Oleh Salawati Haji Yahya 

Penularan wabak COVID-19 menyaksikan hampir merubah kehidupan harian manusia 360 darjah, sekali gus memaksa masyarakat dalam pelbagai peringkat umur melakukan urusan secara dalam talian dan membiasakan diri dengan teknologi.

Dengan kepesatan perkembangan teknologi 4.0 dan cabaran-cabaran yang dihadapi khususnya dalam situasi pandemik, pembelajaran secara berdepanan (face to face) tidak dapat dijalankan, sistem pendidikan khususnya implementasi pengajaran dan pembelajaran perlu setara dengan kehendak dan perubahan semasa.

Pada ketika ini, pembelajaran secara dalam talian dilihat sebagai penaiktarafan sistem penyampaian pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pendidikan tidak terhalang. Pembelajaran secara dalam talian adalah satu inovasi yang menarik dengan menggabungkan teknologi secara maksimum, walaupun implementasinya agak mencabar di-sebabkan beberapa faktor seperti, kemahiran teknologi bagi guru dan pelajar, persediaan, pemilikan peralatan IT, akses internet dan sebagainya.

Namun sekolah tidak memiliki banyak pilihan yang lebih selamat selain daripada pembelajaran secara dalam talian pada ketika ini.

Perkara ini dikongsikan oleh Pegawai Pendidikan Tingkat Khas yang juga Guru Besar Sekolah Rendah Tungku, Awang Dzubaharin bin Haji Sulaiman semasa temu bual media menerusi aplikasi media sosial, menjelaskan jika persediaan rapi dibuat, banyak manfaat yang boleh diperolehi melalui kaedah pembelajaran secara dalam talian ini.

Pembelajaran dilaksanakan sepenuhnya dari rumah semasa gelombang kedua penularan wabak di negara ini melalui dalam talian yang mana HLP tidak dibenarkan bagi mengelakkan jangkitan.
Aktiviti yang dibuat semasa pembelajaran dalam talian.

Misalnya, waktu pembelajaran lebih fleksibel, sesi pembelajaran masih boleh berlaku walaupun dalam keadaan penutupan sekolah, pelajar berpeluang mengikuti pembelajaran dalam senario yang berbeza dan sebagainya.

“Jika diadun dengan kreativiti, pengajaran dalam talian akan lebih menarik berbanding dengan pembelajaran face to face,” jelasnya.

Manakala guru-guru perlu mempunyai growth mindset bagi memastikan kelangsungan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sebagai alternatif kepada kaedah konvensional.

Perlaksanaan pembelajaran online

Guru-guru telah membuat persediaan yang lebih baik melalui pengalaman gelombang pertama COVID-19 di negara pada tahun lalu.

Kementerian Pendidikan memberikan galakan dan keutamaan untuk berinovasi menggabung-jalinkan pengajaran bersemuka dengan pengajaran dalam talian.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Kementerian Pendidikan telah lebih awal menghidu keperluan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi sebagai antisipasi keadaan yang mungkin atau tidak dijangkakan. Kebanyakan guru pada dasarnya responsif kepada keperluan semasa dan mampu mengadaptasi mengikut keadaan yang tidak dijangkakan.

Semasa gelombang pertama contohnya, guru-guru banyak mempelajari dan meneroka peluang yang ada untuk memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dan ini dibuktikan dengan pengetahuan teknologi guru dalam menggunakan peralatan IT, pemilihan aplikasi yang pelbagai, implementasi online dan offline dan sebagainya.

Guru-guru meneroka dan mengkaji keberkesanan setiap pendekatan dan aplikasi yang digunakan. Pengetahuan sedia ada ini dipertajam dengan mengikuti bengkel-bengkel blended learning yang dikendalikan oleh pihak BDLTA.

Kemahiran itu disebarluas melalui program sesi perkembangan profe-ssional di sekolah masing-masing dan ini sudah tentu bertujuan memantapkan kebolehan dan keberkesanan penyampaian guru-guru dalam bilik darjah.

Perkongsian maklumat dan kemahiran antara guru-guru sekolah merentas kluster adalah perkembangan yang sangat dialu-alukan dan menambah nilai kemahiran sedia ada. Bahan-bahan pengajaran diperolehi dihujung jari melalui aplikasi seperti WhatsApp. Untuk melihat sejauh mana impak dan keberkesanannya setakat ini masih perlu dibuat kajian yang lebih terperinci dan pastinya memerlukan sampel yang mencukupi berkaitan dengan analisa penilaian berdasarkan prestasi pelajar.

Persoalan sama ada pelajar lebih mandiri atau terlalu berharap bantuan ibu bapa atau ahli keluarga ketika berada di rumah mempengaruhi keberkesanan yang sebenar. Namun hasil laporan yang diperoleh daripada guru-guru, penglibatan pelajar dalam pembelajaran dalam talian sejak 18 Ogos yang lalu adalah menggalakkan. Setakat ini, penilaian kemajuan setiap pelajar masih boleh dipantau melalui kaedah yang digunakan. Pelajar memberikan respons baik dan apabila perkara ini sudah mencapai ke tahap pembudayaan, impak yang lebih baik pasti dijelmakan.

Beza gelombang pertama dan kedua

Semasa gelombang pertama, pelajar-pelajar berpeluang mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian namun tidak sepenuhnya kerana pada waktu tersebut, pelajar-pelajar masih boleh dibekalkan dengan Pek Pembelajaran di Rumah (HLP) secara mingguan.

Guru-guru pada waktu tersebut mula meneroka kaedah dalam talian dan menggunakan kemahiran yang ada walaupun pada elemen trial and error dalam menguji aplikasi yang diperoleh di laman sosial.

Cabarannya tetap ada memandangkan perubahan pada kaedah pengajaran pada waktu itu terlalu cepat tanpa persediaan rapi. Peralatan peranti dan yang berkaitan juga kurang persediaan bagi pihak pelajar dan sebilangan ibu bapa juga menghadapi cabaran untuk membantu anak-anak mereka menguasai IT di rumah.

Ini belum termasuk dengan isu-isu dan cabaran-cabaran yang lain, kefahaman guru dan juga ibu bapa mengenai pembelajaran secara dalam talian juga bervariasi.

Gelombang kedua lebih mencabar kerana pembelajaran dilaksanakan sepenuhnya dari rumah melalui pembelajaran dalam talian yang mana HLP tidak dibenarkan bagi mengelakkan jangkitan.

Ke arah untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar dan bagi mengelakkan berlakunya pelajar yang terciri dalam pembelajaran mereka, guru-guru menggunakan apa jua cara yang bersesuaian mengajar secara dalam talian. Tahap kesediaan adalah lebih baik dari sebelumnya walaupun ada juga segelintir guru dan masyarakat yang masih berharap HLP masih dapat diberikan.

Sekolah Rendah Tungku mempunyai rancangan untuk mengadaptasi pembelajaran dalam talian dan melibatkan beberapa guru dalam bengkel blended learning yang dikendalikan oleh pihak BDLTA.

Dalam menawarkan pembelajaran dalam talian, pihak sekolah juga mengambil kira pelajar-pelajar yang tidak ada akses internet dan bagi golongan yang kurang berkemampuan dan bagi yang memiliki akses internet adalah lebih bernasib baik.

Pihak sekolah mencuba sedaya upaya untuk mencari cara untuk menghubungi setiap pelajar bagi memastikan learning lost tidak berlaku dan setakat ini, peratusan pelajar yang ikut serta dalam pembelajaran secara dalam talian agak menggalakkan.

Persediaan untuk pelajar Tahun 6

Dalam situasi penutupan sekolah kali ini, pihak sekolah berasa bimbang jika tumpuan mereka lebih kepada yang lain apabila di dalam talian. Sebagai usaha, pihak sekolah melalui kaunselor sekolah menjalankan peranannya menyampaikan amanat-amanat dan informasi yang boleh dijadikan panduan bagi pihak ibu bapa memantau pembelajaran anak-anak mereka di rumah.

Penglibatan ibu bapa amat penting bagi mengekalkan semangat dan motivasi untuk terus belajar dan mengulangkaji, semua guru yang mengajar pelajar Tahun 6 dilibatkan dalam membantu mereka membuat persediaan bagi menduduki peperiksaan.

Manakala guru-guru yang mengajar mata pelajaran teras akan meneruskan pembelajaran secara dalam talian sementara guru-guru yang mengajar mata pelajaran bukan teras akan menggunakan slot yang diberikan untuk mengajar mata pelajaran teras yang mereka pilih.

Usaha guru memberi yang terbaik

Bekerja dari rumah (WFH) tidak menghalang untuk komunikasi antara pihak pentadbiran sekolah dan guru-guru dan komunikasi melalui e-mel atau melalui WhatsApp.

Komunikasi bukan hanya tertumpu antara pentadbiran sekolah dengan guru-guru, tetapi yang lebih penting ialah kolaborasi guru-guru dalam mengongsikan kemahiran masing-masing dan membantu rakan setugas.

Bahan-bahan pengajaran juga dimuat naik ke Instagram khusus bagi Sekolah Rendah Tungku untuk memberikan kemudahan guru-guru mengakses bahan-bahan tersebut. Pihak pentadbiran dari semasa ke semasa akan memberikan maklumat semasa, input dan cadangan untuk dibincangkan bersama.

Pengajaran untuk pelajar SENA

Sementara Guru Bantuan Keperluan Pendidikan Khas (SENA), Dayang Noorul Nazati binti Haji Bujang mengongsikan untuk pelajar SENA ini, disediakan perkhidmatan pendidikan khas dengan menggunakan pelbagai strategi dan platform online bergantung keperluan pelajar.

Guru pendidikan khas bekerjasama dengan keluarga untuk memastikan perkhidmatan apa yang diperlukan semasa tempoh pandemik ini. Kakitangan pendidikan khas ini akan menyediakan beberapa rancangan yang antara dengan menyediakan pelan pendidikan khas dalam Pelan Pendidikan Individu (IEP) melalui laman web pembelajaran dalam talian, bahan pengajaran dalam talian, sumber dalam talian, video pengajaran, dan lain-lain.

Dalam usaha ke arah Pembelajaran di Rumah (HBL), rancangan akan disesuaikan mengikut keperluan untuk memberikan yang terbaik seterusnya memberikan layanan dengan kualiti terbaik berdasarkan keadaan.