Import dan eksport China meningkat

BEIJING, 7 SEPT – Pertumbuhan import dan eksport China meningkat pada Ogos meskipun gangguan disebabkan penularan varian koronavirus Delta.

Eksport meningkat 25.6 peratus berbanding setahun sebelumnya kepada AS$294.3 bilion, meningkat daripada pertumbuhan Julai sebanyak 18.9 peratus, data kastam menunjukkan hari ini. Import pula meningkat 33.1 peratus kepada AS$236 bilion, bertambah daripada 28.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Angka tersebut dicatat meskipun gangguan berlarutan dalam rantaian pengeluaran industri disebabkan penutupan ekonomi global pada tahun lalu dan kenaikan baharu dalam jangkitan di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa pasaran lain yang telah menjejas sentimen pengguna.

“Eksport dan import adalah jauh lebih kukuh daripada dijangkakan pada bulan lalu disebabkan pelonggaran kawalan anti-penyakit, hiburan dan industri perkhidmatan lain dibuka semula dan pesaing asing kembali ke pasaran global,” kata Sheana Yue daripada Capital Economics dalam satu laporan.

Eksport China ke Amerika Syarikat meningkat 15.5 peratus pada Ogos berbanding setahun sebelumnya kepada AS$51.7 bilion, meningkat daripada pertumbuhan 13.4 peratus yang dicatat pada Julai meskipun kenaikan tarif AS dalam perbalahan berhubung dasar teknologi Beijing.

Import barangan AS meningkat 33.3 peratus kepada AS$14 bilion, meningkat daripada kenaikan 25.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Lebihan dagangan global China merosot sebanyak 1 peratus pada Ogos berbanding setahun sebelumnya kepada AS$58.3 bilion. – AP

Gambar dari udara menunjukkan kapal kontena berlabuh di sebuah pelabuhan di Sungai Yangtze di Nantong, timur wilayah Jiangsu, China pada 6 September 2021. Pertumbuhan import dan eksport China meningkat pada Ogos. – AP