Import, eksport China menokok 29.2 peratus

BEIJING, 14 APRIL – Jumlah import dan eksport perdagangan komoditi China menyaksikan peningkatan 29.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Data rasmi Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GAC) pada Selasa menunjukkan eksport menokok sebanyak 38.7 peratus, manakala import berkembang 19.3 peratus.

Menurut maklumat Pejabat Penerangan Dewan Negara China pula, ASEAN berjaya mengekalkan status sebagai rakan dagang terbesar China untuk tempoh sama, diikuti Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Statistik turut menunjukkan jumlah import dan eksport antara China dengan ASEAN mencatat RMB1.24 trilion pada suku tahun pertama, meningkat 26.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Import dan eksport dengan EU, AS dan Jepun pula masing-masing direkodkan sebanyak RMB1.19 trilion, RMB1.08 trilion dan RMB561.42 bilion, memperlihatkan peningkatan 36.4 peratus, 61.3 peratus dan 20.8 peratus. – Bernama

Seorang jurujual menunjukkan penggunaan skrin sentuhan dalam kereta Tesla yang dipamerkan di gedung membeli-belah di Beijing kelmarin. Jumlah import dan eksport perdagangan komoditi China menyaksikan peningkatan 29.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. – AFP