Import, eksport perdagangan makanan laut merosot

PORTLAND, MAINE, 24 NOV – Pandemik koronavirus telah menyebabkan perindustrian makanan laut Amerika Syarikat (AS) mengalami kerugian berikutan kemerosotan import dan eksport serta penurunan tangkapan beberapa spesies.

Dapatan tersebut merupakan kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis yang berusaha mengukur kemerosotan perniagaan makanan laut Amerika akibat wabak tersebut, yang sebahagiannya berdepan kesukaran kerana bergantung pada penjualan restoran.

Permintaan pengguna untuk makanan laut di restoran juga mencatatkan penurunan lebih dari 70 peratus pada bulan-bulan awal penularan wabak tersebut, menurut para saintis, yang menerbitkan dapatan mereka dalam jurnal Fish and Fisheries.

Import turun sekitar 37 peratus dan eksport sekitar 43 peratus dalam sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 2019, kata kajian itu.

Kesan ekonomi akibat wabak berkenaan dapat dilihat di negeri-negeri yang sangat bergantung kepada sektor makanan laut, seperti Maine, Alaska dan Louisiana, kata Easton White, ahli biologi University of Vermont dan penulis utama kajian.

Bagaimanapun ia bukanlah satu pengakhiran untuk perindustrian ini kerana penghantaran makanan laut dan masakan rumah sedikit sebanyak telah membantu perniagaan mengatasi kesan akibat wabak itu, kata White.

Industri berkenaan dijangka akan kembali pulih dalam keadaan yang lebih baik selepas wabak itu sekiranya pengguna domestik lebih berminat dengan makanan laut segar, katanya.

“Peralihan kepada pasaran tempatan ini adalah sesuatu yang sangat penting untuk tujuan pemulihan,” kata White.” – AP