Import kulit untuk rawat mangsa

WELLINGTON, 11 DIS – New Zealand memesan 1.2 juta sentimeter (sm) persegi kulit dari Amerika Syarikat bagi merawat mangsa yang melecur akibat letusan gunung berapi di Pulau Putih.

Seramai 29 mangsa kini dirawat di hospital akibat melecur dan terbakar selepas letusan Isnin lalu.

Doktor dan pakar bedah perlu memberi rawatan lebih pantas berikutan kecederaan mangsa adalah lecuran toksik gas gunung berapi, bukannya kebakaran biasa.

Menurut laporan Daily Mail, pakar bedah dijangka memerlukan 500 jam untuk melakukan pembedahan terhadap pesakit selepas ini.

Seramai 34 mangsa diselamatkan dengan helikopter dari pulau itu dan dimasukkan ke hospital.

Dari jumlah itu, 29 mengalami kecederaan melecur, termasuk beberapa mangsa yang 95 peratus tubuh melecur manakala selebihnya melecur sekurang-kurangnya 30 peratus. – Agensi