ISLAMABAD, 27 NOV – Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata partinya akan berhenti daripada mengadakan perhimpunan serantau dan nasional ketika beliau membuat penampilan pertama di khalayak umum selepas cedera akibat serangan tembakan.
Khan, bekas bintang kriket yang menjadi ahli politik, digulingkan menerusi undi tidak percaya di Parlimen pada April lalu dan sudah menjadi pembangkang. Beliau kini menuntut pilihan raya awal dengan mendakwa penyingkirannya adalah tidak sah dan didalangi oleh Perdana Menteri, Shahbaz Sharif, dengan bantuan kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Sharif dan Washington bagaimanapun menolak dakwaan itu dan kerajaan semasa mengesahkan, pilihan raya seterusnya akan diadakan seperti mana dijadualkan pada 2023.
Khan melancarkan perarakan protes lewat bulan lalu dari bandar timur Lahore ke Islamabad sebagai sebahagian daripada kempennya untuk pemilihan awal, namun berundur daripada mengetuai konvoi selepas dia cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah kenderaannya.
Namun semalam, di bandar Rawalpindi dekat Islamabad, Khan menyertai semula perarakan bantahan itu. Dia memberitahu puluhan ribu penyokongnya, parti Tehreek-e-Insaf sudah meninggalkan semua perhimpunan serantau dan nasional, malah turut keluar dari ‘sistem rasuah’ itu.
Wakil rakyat partinya meletak jawatan secara beramai-ramai dalam Dewan Negara pada April lalu sebelum undian untuk memilih perdana menteri baharu, meskipun kebanyakan peletakan jawatan masih lagi belum diterima.
Menjelang akhir ucapannya, beliau dilihat menarik balik tuntutannya untuk mengadakan pilihan raya mengejut dengan mengatakan partinya akan memenangi pemilihan yang dijadualkan dalam masa sembilan bulan ini. – AP
