Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Imuniti semula jadi, dos penggalak faktor penurunan kes

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Penurunan kes jangkitan COVID-19 boleh dilihat dari beberapa faktor seperti jumlah penduduk yang ramai telah mendapat vaksin terutama dos penggalak di mana hampir 80 peratus telah mendapatkannya serta imuniti semula jadi (natural immunity) yang tinggi dalam kalangan penduduk negara dengan ramai juga telah dijangkiti serta sembuh daripadanya.

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika mengulas mengenai persoalan penurunan kes jangkitan COVID-19 semasa Sidang Media COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Walaupun ramai dalam kalangan penduduk negara telah dijangkiti, namun jumlah mereka yang berada dalam kategori 5 dan kategori 4 adalah masih rendah, jelasnya lanjut.

    Yang Berhormat Dato menerangkan lagi, seperti yang turut disaksikan di negara-negara luar, apabila jangkitan mencapai satu kemuncak, ia akan menurun dan perkara serupa juga dapat disaksikan dalam trend jangkitan di Brunei.

    Sementara itu, mengulas mengenai jumlah mereka yang mengambil dos penggalak kedua masih rendah, Yang Berhormat Dato berkata bahawa ketahanan vaksin adalah sekitar empat bulan hingga setahun tertakluk kepada jenis vaksin yang diambil dan jumlah penduduk yang mengambil dos penggalak juga adalah sangat menggalakkan iaitu hampir 80 peratus penduduk negara.

    Beliau akui bahawa jumlah penduduk yang telah mengambil dos penggalak kedua hanya kira-kira 9 peratus dan pengambilan dos penggalak kedua berkenaan adalah digalakkan bagi golongan tertentu seperti warga emas dan mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit.

    “Ia bukannya sesuatu yang mandatori. Jadi apa yang diharapkan, orang ramai terutama mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit untuk tampil ke hadapan bagi mendapatkan dos penggalak kedua,” seru beliau.

    Beliau menerangkan bahawa kebanyakan penduduk telah mendapatkan vaksin pada tahun lalu dan seperti flu vaksin, pengambilan vaksin COVID-19 adalah sekurang-kurangnya setahun sekali.

    Manakala itu, menerangkan mengenai pembaziran vaksin COVID-19, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa tidak banyak pembaziran berlaku dan menyatakan harapan segala perancangan akan dapat berjalan dengan baik.

    “Kita juga mengetahui bahawa jumlah mereka yang mengambil dos penggalak adalah sedikit, jadi penghantaran vaksin seterusnya juga ditangguhkan menerusi rundingan dengan syarikat farmaseutikal supaya memastikan bahawa kita akan dapat menerima vaksin seperti dirancangkan,” kongsi beliau lagi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...