Monday, March 24, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inai semakin dilupakan di Tunisia?

    GABES, Tunisia – Di sekitar bandar pantai Tunisia, Gabes, inai telah lama menjadi penjana utama ekonomi, sehingga tumbuhan itu dikenali sebagai ‘emas merah.’

    Namun krisis air dan perubahan tabiat pengguna membuatkan petani berfikir dua kali untuk menanam pokok renek inai, meskipun daunnya telah menjadi idaman semua orang untuk mengecat kuku, mewarna rambut dan meninta tatu sementara, terutamanya untuk majlis perkahwinan.

    “Gabes semakin lenyap disebabkan kekurangan air,” kata petani Houcine Akrout, ketika dia menggali terusan di sekeliling tumbuhan hijaunya untuk memaksimumkan aliran air di bawah cahaya matahari awal pagi.

    Akrout sedang bekerja keras, disebabkan bekalan air tempatan hari ini akan disaliri daripada sebuah terusan ke tanahnya, perkara yang luar biasa pada masa sekarang, disebabkan pencatuan kerajaan.

    Pembandaran dan permintaan air yang meningkat pesat daripada industri dan pertanian telah memberikan tekanan besar ke atas simpanan air Tunisia, menurut Bank Dunia.

    Pengantin perempuan menunjukkan inai yang dilukis pada tangannya, sehari sebelum hari perkahwinannya di bandar Gabes. – AFP

    Dan satu kajian mengenai perkhidmatan air Tunisia pada 2016 yang dibiayai oleh kerajaan Sweden mendapati kerugian yang dialami daripada rangkaian penyaliran mencecah 40 hingga 50 peratus. Untuk petani seperti Akrout, ia bermakna menunggu 15 hingga 20 hari untuk mendapatkan bekalan air.

    “Ia amat lama untuk tumbuhan inai yang memerlukan banyak air,” beritahunya kepada AFP.

    Situasi itu amat buruk sehingga beliau telah mencabut kebanyakan pokok inai dan menggantikannya dengan pokok delima, spesis yang kurang memerlukan air.

    “Inai tidak memberikan saya sebarang keuntungan,” kata beliau. “Ia tidak menguntungkan lagi dan saya perlu hidup dan menyara keluarga saya.”

    Apabila tiba masanya, bekalan air berharga 2.8 dinar sejam. Pada pertengahan musim panas, penantian boleh mencecah 40 hari, akui Amel Ghiloufi, ketua jabatan tumbuhan rantau di kementerian pertanian.

    Dan pencemaran bekalan air daripada kilang kimia telah melihat peladang meninggalkan tanah di oasis di pantai Mediterranean dalam beberapa dekad ini.

    Krisis air telah memberikan kesan dramatik ke atas pengeluaran inai. Hanya 645 tan tanaman tersebut dihasilkan di rantau Gabes pada tahun 2016/17, merosot 20 peratus berbanding musim sebelumnya, kata Ghiloufi.

    Namun faktor lain, termasuk kekurangan pekerja, juga menyebabkan kemerosotan jangka panjang. Dan bukan sahaja tekanan bekalan yang telah menjejas pasaran, permintaan untuk inai tempatan turut merosot, apabila orang memilih alternatif dari luar negara.

    Dalam beberapa abad ini, daun inai telah dikeringkan dan dijadikan serbuk halus sebelum dicampur dengan air, untuk menghasilkan pes yang diidamkan oleh orang di Afrika, Timur Tengah dan Asia.

    Pes tersebut digunakan untuk mewarna rambut, tapak tangan, lengan dan kaki dengan corak ringkas yang bertahan selama sebulan. Namun proses berkenaan boleh menjadi leceh dan kotor serta orang ramai tidak mahu mengekalkan kerja seni berkenaan untuk masa yang lama.

    Seorang petani Tunisia menanam tumbuhan inai di ladangnya di bandar Gabes. – AFP
    Serbuk inai iaitu ‘emas merah’, yang terdapat di kedai bandar Gabes. – AFP

    Maka import inai versi yang telahpun diproses dari Sudan, Yaman dan India sudah menjadi semakin popular, dengan bahan kimia tambahan mengehad penembusan dalam kulit dan menjadikannya senang untuk dicuci dari tangan.

    Sebelum majlis perkahwinan, pewarna yang sedia digunakan itu dibahagi-bahagikan dalam kotak yang dihiasi di majlis orang bujang. Versi import yang telah diproses sedang mengambil alih dan mengganti produk tempatan.

    Dan sementara ia adalah popular sebagai penawar yang mujarab untuk segalanya daripada sakit migrain kepada masalah kulit, orang muda lebih bersikap ragu-ragu tentang kuasa penyembuh inai. Namun bagi Ghiloufi, satu-satunya cara untuk “memulihkan sektor tersebut adalah membuat penemuan baharu,” dengan mempromosi khasiat semula jadi inai dan mempelbagaikan produk dalam pasaran baharu.

    Di ibu negara Tunis, syampu berasaskan tumbuhan itu telah memasuki kedai kesihatan. Hanya segelintir usahawan yang menjual inai Tunisia di luar negara dan mereka melakukannya tanpa sokongan kerajaan, maka eksport adalah amat minimum, meskipun ‘kualiti baik’ yang dihasilkan oleh petani Gabes, kata Ghiloufi.

    Di Jara, pasar pelancong utama di tengah Gabes, gerai besar dipenuhi dengan inai dan kemenyan, namun jalan raya di sana adalah lengang. Peniaga mengadu pelancong yang tidak ramai itu adalah tidak cukup untuk mengganti sifat tidak berminat penduduk tempatan.

    “Inai dijual sepanjang tahun. Pasar kami sentiasa penuh dengan pelanggan yang datang dari seluruh Tunisia!” kata Hassan Mrabet, 85 tahun, yang telah menanam dan menjual inai selama setengah abad.

    “Sekarang jualan adalah terhad kepada musim perkahwinan pada Julai dan Ogos,” tambah beliau.

    Seorang lagi peniaga mengeluh tentang kepopularan produk dan rawatan kecantikan lain yang semakin meningkat tatkala gaya hidup berubah. Jenis “pewarna dan rias tangan dan kuku baharu telah mengganti inai hari ini,” menurut Ismail, 49 tahun.

    “Penduduk Tunisia telah mengubah tabiat mereka dan telah membelakangkan tradisi; inai sudah ketinggalan zaman.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda