Inap desa gabung konsep amal jariah

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Salawati Haji Yahya

Konsep keusahawanan dan amal jariah menjadi pegangan dan warisan sebuah keluarga sehingga tercetusnya kesepakatan mendirikan sebuah rumah ala ‘stay lodge’ sekitar tiga tahun lalu, bagi meneruskan misi amal keluarga Allahyarham nenek tercinta.

Keluarga besar yang ingin memastikan ikatan silaturahim terus seperti ‘air dicincang tak akan putus’ itu membina Teratak Mumin Family Foundation (MFF) sempena nama Allahyarham ayah tercinta, Haji Abdul Mumin bin Awang Sungguh dari Kampung Rataie, Mukim Bokok, Daerah Temburong yang mula beroperasi Mac lalu.

“Kami bersatu meneruskan misi amal jariah bagi keluarga Allahyarham nenek tercinta melalui dunia keusahawanan berkonsepkan amal ini,” kata Pengurus Teratak MFF, Awang Mohammad Wazien Syahmi bin Haji Mas’ud yang juga selaku anak buah kepada pemilik rumah penginapan, Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin, semasa ditemui penulis dan rakan media baru-baru ini.

Terwujudnya nilai sentimental

Jauh daripada kesibukan ibu kota, bunyi-bunyi burung berkicauan memecah kesunyian pagi, itulah ketenangan dan keseronokan dirasai kami sebaik sahaja menjejakkan kaki ke rumah berkonsepkan inap desa itu di sini.

Ditambah dengan suasana keindahan alam semula jadi melalui persekitaran dilitupi tumbuhan serba hijau, sehingga terasa ‘aroma kesegaran hutan’ sambil dibuai hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa, mampu melupakan sejenak masalah yang berkecamuk di fikiran kami.

Awang Mohammad Wazien selaku pengurus dan juga anak buah kepada pemilik Teratak Mumin Family Foundation (MFF) semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini.
Keluarga terdiri daripada 12 adik-beradik bersatu hati menerokai dunia keusahawanan berkonsepkan amal jariah, di mana hasil pendapatan akan disalurkan ke dana Yayasan Keluarga mereka yang kemudiannya diagihkan kepada orang-orang yang memerlukan.
Tenang dan mendamaikan…Teratak MFF menawarkan penginapan ala desa dikelilingi hutan menghijau dan pada musim buah, pengunjung juga berpeluang menikmati buah-buahan tempatan.

Menurut Awang Mohammad Wazien, teratak itu dibeli oleh ibu saudaranya selaku pemilik rumah hanya untuk dijadikan kebun buah-buahan sahaja pada asalnya, apa lagi keluarga besar mereka sememangnya menggemari buah-buahan tempatan terutama pada musim buah.

Segalanya bermula apabila salah seorang bapa saudara beliau yang merupakan seorang arkitek mengutarakan idea untuk mendirikan semula sebuah rumah di tapak tanah berkenaan untuk dijadikan rumah persinggahan sambil beramal yang sekali gus dipersetujui oleh adik-beradik yang lain.

“Dengan hasil rekaan struktur rumah daripada bapa saudara saya, ia sememangnya mempunyai nilai sentimental bagi keluarga kami secara peribadi kerana struktur rekaannya hampir serupa dengan rumah warisan Allahyarham nenek tersayang yang musnah dalam kebakaran suatu ketika dahulu. Segalanya indah untuk dijadikan ristaan kami bersama,” tambahnya lagi.

Sebagai bekalan saham akhirat

Di samping menawarkan perkhidmatan penginapan untuk orang ramai yang berhasrat untuk merasakan suasana kehidupan kampung diselaraskan dengan tema moden dari segi kemudahan dan infrastruktur yang disediakan, Awang Mohammad Wazien menjelaskan bahawa salah satu misi utama tertubuhnya teratak ini adalah untuk menolong keluarga-keluarga daif dan kurang bernasib baik di Negara Brunei Darussalam dengan niat untuk menjadikan misi tersebut sebagai bekalan pada hari akhirat kelak.

Dengan adanya hasil pendapatan yang diperoleh akan dimasukkan ke dalam dana Yayasan Keluarga agar dapat menolong lebih ramai lagi keluarga daif dan kurang bernasib baik pada masa akan datang.

“Kebiasaannya sumbangan bantuan sama ada berupa kewangan dan juga pelbagai jenis barangan keperluan seperti makanan asasi dan barangan keperluan sekolah akan diserahkan oleh ahli-ahli keluarga kami yang telah mengetahui akan keberadaan orang-orang yang memerlukan bantuan di kawasan-kawasan di mana mereka menetap bukan sahaja di daerah ini bahkan juga di ketiga-tiga daerah yang lain,” jelasnya dengan penuh ketulusan.

Platform bantu penduduk setempat

Adapun teratak yang mampu menam-pung lebih 40 orang itu sememangnya turut bermatlamat untuk mengembang majukan sosioekonomi masyarakat Mukim Bokok dan sebagai satu platform dan usaha untuk membantu penduduk setempat seterusnya bagi menarik lebih ramai pengunjung dari luar daerah dan juga dari negara-negara jiran sekali gus memeriahkan lagi Daerah Temburong dengan aktiviti pelancongan.

“Apa yang menjadi antara harapan kami adalah untuk menyemai kesedaran masyarakat di negara ini menghargai keindahan alam semula jadi dan tempat-tempat menarik serta keistimewaan pelbagai kulinari seperti yang terdapat di daerah yang terkenal dengan julukan Permata Hijau ini,” jelasnya dengan penuh keyakinan, sambil berharap pengalaman di sana menggembirakan pengunjung.