Indeks dagangan China-ASEAN naik 141 peratus

BEIJING, 13 SEPT – Indeks perdagangan China-ASEAN menyaksikan kenaikan 141.09 peratus pada 2020 berbanding tahun 2010, memetik pengumuman Jabatan Am Kastam China (GAC) dan kerajaan wilayah Guangxi.

Pengumuman itu dibuat di Forum Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan Sambutan Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog China-ASEAN sempena Ekspo China-ASEAN ke-18.

“China dan negara ASEAN telah bersama-sama menubuhkan sistem indeks yang saintifik dan bercirikan perdagangan.

“Dengan wujudnya sistem tersebut, jabatan kerajaan dapat membentuk dasar perdagangan secara berfakta, dan memberikan sokongan maklumat kepada syarikat import dan eksport bagi tujuan membuka pintu lebih luas kepada dunia luar serta menarik pelaburan, tenaga profesional dan konsep tadbir urus korporat berkualiti tinggi dari negara lain,” menurut pengumuman itu. – Bernama