Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Pada suku keempat 2020, Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) menunjukkan penurunan sebanyak 4.9 peratus tahun-ketahun kepada 90.6 berbanding dengan suku keempat 2019 dan ia juga menunjukkan penurunan sebanyak 1.2 peratus berbanding suku ketiga 2020.
Statistik RPPI itu dikongsi dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), di sini, hari ini, di mana AMBD telah menerbitkan Indeks Harga Hartanah Kediaman Negara Brunei Darussalam bagi suku keempat 2020.
Kenyataan menyatakan bahawa indeks itu dihasilkan dengan data yang diperoleh daripada bank-bank di Negara Brunei Darussalam serta diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).
Kenyataan menerangkan bahawa berdasarkan data pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperoleh daripada bank-bank, sebanyak 131 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada suku keempat 2020 berbanding dengan 182 transaksi pada suku ketiga 2020.
Kebanyakan daripada transaksi berkenaan adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached sebanyak 53.4 peratus, diikuti dengan rumah berkembar atau semi-detached sebanyak 19.9 peratus, rumah teres sebanyak 18.3 peratus, pangsapuri sebanyak 3.8 peratus dan tanah sebanyak 4.6 peratus.
Harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada tempoh suku keempat 2020 ialah $245,000. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 5 peratus berbanding dengan suku keempat 2019 dan peningkatan sebanyak 2.1 peratus berbanding dengan suku ketiga 2020.
Harga median bagi pembelian rumah berasingan atau detached adalah $289,000, bagi rumah berkembar atau semi-detached $250,000, bagi rumah teres $202,500, bagi pangsapuri $210,000 dan bagi tanah adalah $75,000.
Kenyataan menyatakan bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung pada indeks dan statistik berkenaan untuk menilai mana-mana hartanah kerana hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini, mereka boleh mendapatkannya di laman sesawang AMBD, www.ambd.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram AMBD @autoriti_monetari.