Indeks Harga Hartanah Kediaman meningkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Indeks Harga Hartanah Kediaman (RPPI) pada suku kedua 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 10.0 peratus tahun-ke-tahun kepada 93.1 berbanding dengan suku kedua 2020 dan peningkatan 0.3 peratus berbanding dengan suku pertama 2021.

RPPI Negara Brunei Darussalam bagi suku kedua (Q2) 2021 telah diterbitkan oleh Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB).

Menurut siaran akhbar yang dikeluarkan oleh BDCB, di sini, hari ini, indeks itu dihasilkan dengan data yang diperoleh daripada bank-bank di Negara Brunei Darussalam dan diterbitkan dengan kerjasama pihak Kementerian Pembangunan khususnya Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi).

Kenyataan menyatakan bahawa berdasarkan pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman persendirian yang diperoleh daripada bank-bank, sebanyak 103 transaksi pembelian hartanah kediaman persendirian telah dicatatkan pada suku kedua 2021 berbanding dengan 112 transaksi pada suku pertama 2021.

Kebanyakan daripada transaksi itu adalah bagi pembelian rumah berasingan atau detached iaitu sebanyak 66 peratus, diikuti oleh rumah berkembar atau semi-detached sebanyak 19.4 peratus, rumah teres sebanyak 6.8 peratus, pangsapuri sebanyak 4.9 peratus dan tanah sebanyak 2.9 peratus.

Harga median bagi pembelian kesemua jenis hartanah kediaman persendirian pada suku kedua 2021 adalah $277,000 di mana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 16.4 peratus berbanding suku kedua 2020 dan peningkatan sebanyak 12.1 peratus berbanding suku pertama 2021.

Harga median bagi pembelian rumah berasingan atau detached adalah $299,500, bagi rumah berkembar atau semi-detached sebanyak $256,000, rumah teres $210,000, pangsapuri $230,000 dan tanah $145,000.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa indeks dan statistik yang diterbitkan adalah untuk maklumat umum sahaja. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak hanya bergantung pada indeks dan statistik berkenaan untuk menilai mana-mana hartanah kerana harga hartanah kediaman persendirian adalah berbeza tertakluk antara lainnya kepada lokasi, saiz tanah dan keluasan lantai.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, nota teknikal dan data terkini, ia boleh didapatkan di laman sesawang BDCB, www.bdcb.gov.bn. Maklumat terkini mengenai RPPI juga akan dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui akaun Instagram BDCB @centralbank.brunei.