Indeks jenayah Sarawak turun 5.4 peratus

KUCHING, 3 Jan – Indeks jenayah di Sarawak berjaya diturunkan 5.4 peratus pada tahun lepas, iaitu melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menetapkan penurunan lima peratus setiap tahun.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Abdul Aziz Yusof berkata maklumat lebih terperinci mengenai indeks jenayah itu dijangka diumumkan nanti. Beliau berkata Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) memainkan peranan besar dalam merangka pelan tindakan dan hala tuju untuk dilaksanakan pasukan polis pada peringkat daerah dalam usaha menurunkan lagi kadar jenayah.

“Bagi tahun ini JPJKK sudah bermesyuarat hujung tahun lepas, merangka perancangan baharu untuk dilaksanakan tahun ini, tapi ia belum dimuktamadkan lagi. Ketika ini ketua-ketua polis daerah terus dengan aktiviti dan perancangan yang dibuat tahun lepas,” katanya. – Bernama