Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Indeks runcit, perkhidmatan menurun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Indeks Jualan Runcit (IJR) di Negara Brunei Darussalam pada suku keempat 2021 telah menunjukkan penurunan tahun-ke-tahun sebanyak 8.6 peratus dengan nilai jualan runcit dianggarkan sebanyak $417.1 juta.

    Manakala itu, bagi Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman (IPM&M) pula, ia juga telah menurun sebanyak 22.9 peratus berbanding suku keempat 2020 dengan nilai hasil jualan dianggarkan sebanyak $74.2 juta.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, hari ini, bagi jualan runcit, hampir kesemua aktiviti runcit telah menunjukkan penurunan jualan berbanding 2020, yang didorong terutamanya oleh jualan tekstil, pakaian dan kasut yang menurun sebanyak 33.3 peratus, diikuti dengan jualan di stesen minyak 25.7 peratus, jualan peralatan perabot dan rumah 15.7 peratus, jualan di gedung serba neka 10.3 peratus dan jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 6.2 peratus.

    Bagi perkhidmatan makanan dan minuman, penurunan jualan berbanding 2020 adalah didorong oleh hasil jualan bagi restoran yang menurun sebanyak 25.9 peratus, diikuti dengan kedai makanan segera 16.7 peratus dan aktiviti penyajian minuman 16.2 peratus.

    Berbanding suku keempat 2020, penurunan jualan bagi kebanyakan aktiviti runcit dan jualan perkhidmatan makanan dan minuman adalah selaras dengan langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan semula untuk sebahagian besar suku keempat 2021 berikutan gelombang kedua wabak COVID-19 seperti larangan penyajian makanan secara dine-in sehingga 18 November 2021 dan membenarkan hanya pada 50 peratus kapasiti bermula 19 November 2021 berbanding kapasiti penuh pada 2020.

    Kenyataan turut menyatakan bahawa berbanding suku ketiga (Q3) 2021, IJR pada suku keempat 2021 telah meningkat sebanyak 7.0 peratus, terutamanya disebabkan peningkatan jualan barangan rekreasi sebanyak 40.6 peratus, diikuti dengan jualan peralatan komputer dan telekomunikasi 28.5 peratus, jualan jam tangan dan barang kemas 25.6 peratus, jualan perkakasan, cat dan kaca di kedai khusus 22.0 peratus serta jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus 17.2 peratus.

    Manakala itu, bagi IPM&M pula, ia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus pada suku keempat 2021 berbanding suku ketiga 2021 disebabkan peningkatan hasil jualan bagi aktiviti penyajian minuman sebanyak 11.5 peratus dan restoran 2.5 peratus. ini adalah selaras dengan fasa peralihan yang bermula pada 19 november 2021 di mana premis-premis komersial termasuk restoran, kafe dan medan selera adalah dibenarkan pada 50 peratus kapasiti tempat.

    IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran tren perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...