Saturday, January 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Indeks volum eksport negara meningkat 14.4 peratus

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Indeks volum eksport pada suku ketiga (Q3) 2024 meningkat sebanyak 14.4 peratus berbanding tahun sebelumnya. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan indeks volum eksport bahan-bahan mentah yang tidak boleh dimakan sebanyak 26.9 peratus; jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 16.9 peratus dan bahan api galian dengan 15.4 peratus.

    Perkara berkenaan antara yang dinyatakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam siaran media yang dikeluarkan hari ini berhubung Indeks Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTI) Suku Tahun Ketiga 2024 Negara Brunei Darussalam.

    Walau bagaimanapun, indeks nilai unit eksport menurun sebanyak 4.9 peratus menyebabkan penurunan nilai eksport daripada $4,092.4 juta kepada $3,600.9 juta.

    Penurunan indeks nilai unit eksport adalah disebabkan oleh penurunan sebanyak 18.5 peratus dalam indeks pelbagai barang keluaran kilang, yang didorong oleh penurunan nilai unit instrumen dan peralatan profesional, saintifik dan kawalan. Ini diikuti oleh penurunan sebanyak 7.2 peratus dalam indeks barang-barang keluaran kilang dan 6.1 peratus dalam indeks bahan-bahan kimia.

    Turut dikongsikan ialah indeks nilai unit import mencatatkan penurunan sebanyak 6.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, menyebabkan penurunan jumlah nilai import daripada $2,624.5 juta kepada $2,383.3 juta. Ini adalah disumbangkan oleh penurunan indeks barang-barang keluaran kilang sebanyak 22.5 peratus; bahan api galian sebanyak 9.8 peratus; dan jentera dan kelengkapan pengangkutan dengan 0.4 peratus.

    Indeks volum import pada Q3 2024 menurun sebanyak 1.1 peratus terutamanya disebabkan oleh penurunan 10.1 peratus indeks bahan api galian, didorong oleh penurunan volum produk petroleum dan bahan berkaitan. Ini diikuti oleh penurunan indeks volum bahan-bahan kimia sebanyak 8.0 peratus dan barang-barang keluaran kilang sebanyak 6.0 peratus.

    IMTI menunjukkan perubahan nilai unit dan kuantiti komoditi import dan eksport di Negara Brunei Darussalam dalam tempoh tertentu. Indeks ini juga bermanfaat untuk membuat analisa pasaran global yang berdaya saing dalam mengukur dan membuat unjuran inflasi dan penyusunan akaun negara. Laporan penuh IMTI bagi Q3 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda