Indera Motors Sdn Bhd dapat pengiktirafan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Indera Motors Sdn Bhd, pengedar dan peruncit tunggal kenderaan Jaguar dan Land Rover di Brunei Darussalam, telah diiktiraf sebagai Peruncit Terbaik Asia Pasifik 2019/20 oleh Jaguar Land Rover Limited, United Kingdom.

Indera Motors dalam kenyataannya memaklumkan mengenai pengiktirafan tersebut menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama syarikat tersebut menerima anugerah berprestij berkenaan sejak menjadi pengedar jenama mewah berkenaan pada 2012. Ia adalah hasil usaha keras pihak pengurusan dan pasukan Indera Motors untuk mengembangkan jenama dan menanamkan kecemerlangan dalam operasinya, menurut kenyataan itu lagi.

Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Rantau Asia Pasifik, Robin Colgan dalam mesej ucapan tahniah, menyatakan bahawa anugerah berkenaan mengiktiraf kecemerlangan dalam khidmat pelanggan, jualan dan pemasaran dengan prestasi syarikat berkenaan berada di tempat pertama di seluruh 14 negara di rantau ini. Kenyataan menyatakan, Indera Motors telah mengutamakan pelanggannya sebagai strategi teras dan berpegang teguh dalam memberikan pengalaman pelanggan yang berkualiti tinggi dalam semua bidang perniagaannya.

Dalam konteks ini, bilik pameran baharu di Estet Perindustrian Beribi akan memberikan kedudukan baik kepada syarikat berkenaan dalam mencapai matlamatnya ke hadapan.

Pengurus Besar Indera Motors, Alfred Yong pula dipetik mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sumbangan mereka dalam membolehkan syarikat menerima anugerah berprestij berkenaan.

“Tanpa maklum balas mereka, kami tidak dapat membuat perubahan dan memenuhi keperluan mereka sebagai pemilik jenama ikonik ini,” ujarnya.

Beliau menambah, pasukan pengurusan dan kakitangan yang bekerja keras dan dedikasi juga membolehkan mereka mencapai semua sasaran dan memastikan operasi berjalan lancar.

Anugerah peruncit terbaik adalah pengiktirafan tahunan yang diberikan kepada peruncit Jaguar Land Rover yang mempunyai amalan-amalan terbaik dalam semua kategori termasuk pemasaran, jualan, perkhidmatan lepas jualan dan khidmat pelanggan menerusi penilaian berdasarkan kriteria dan kad skor ketat.

Indera Motors Sdn Bhd selaku pengedar dan peruncit tunggal kenderaan Jaguar dan Land Rover di Brunei Darussalam, telah diiktiraf sebagai Peruncit Terbaik Asia Pasifik 2019/20.