BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Indera Motors Sdn Bhd selaku pengedar kenderaan jenama Jaguar dan Land Rover di Brunei, tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada Acara Berjalan, Berlari dan Berbasikal sempena Hari Kanser Sedunia yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Indera Motors, kira-kira 70 peratus kakitangannya telah menyertai acara berkenaan.
Ia berobjektif untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Brunei dan mengaspirasikan tindakan bagi masa depan bebas kanser selain menggalakkan masyarakat untuk sama-sama memerangi kanser.
Semasa acara itu, Indera Motors juga telah mengagihkan pelekat-pelekat tingkap dengan pakej-pakej kesedaran kanser kepada para pengunjung.
Dalam pada itu, syarikat berkenaan juga mengadakan peraduan dalam talian dinamakan Gotha! Spot the Car, Tag & Win! yang bermula hari ini hingga penghujung bulan ini yang menawarkan barangan berjenama Jaguar atau Land Rover.
Bagi peraduan itu, orang ramai perlu mencari kereta Jaguar Land Rover di jalan-jalan dan mengambil gambar mesej kesedaran kanser pada kereta berkenaan, kemudian muat naik, tag dan hashtag syarikat berkenaan di Instagram atau Facebook, seterusnya ikuti dan tag dua rakan pada bahagian komen di bawah post mereka.





























