Indera Motors taja hidangan iftar

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Indera Motors Sdn Bhd, baru-baru ini, telah menaja hidangan berbuka puasa bagi golongan yang kurang berkemampuan dan pekerja asing bersama Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Indera Motors, ia adalah untuk inisiatif Social Kitchen SCOT bagi cabaran 5,000 hidangan yang menyediakan peluang kepada keluarga-keluarga kurang berkemampuan terutamanya ibu-ibu tunggal, menjual hidangan yang mereka masak untuk acara-acara dan hidangan sumbangan.

Di samping sumbangan kewangan, Indera Motors juga membantu ibu-ibu tunggal berkenaan dalam membuat persiapan masakan, membungkus makanan dan menghantar hidangan kepada keluarga-keluarga yang kurang bernasib baik.

Kenyataan menambah, susulan Kempen Amal Ramadan ke Sukang, Belait dan Long Mayan, Tutong, tajaan Indera Motors bagi Social Kitchen adalah sebahagian daripada misi tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan untuk memberikan impak yang berpanjangan dan positif kepada masyarakat.

Kakitangan Indera Motors membantu membungkus makanan bagi projek Social Kitchen untuk diagih-agihkan kepada keluarga yang kurang bernasib baik. – Gambar serahan Indera Motors