Indera SC mahu bangkit

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Indera SC berhasrat untuk bangkit dan mempamerkan aksi serangan mereka meski-pun kalah pada pusingan pertama perlawanan 6-1 menentang Yangon United pada pertandingan pusingan pertama kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Rabu lalu.

“Serangan yang ditunjukkan oleh Hamizan Aziz bin Sulaiman dengan larian dari salah satu pemain tengah kami, Aminuddin Zakwan adalah contoh dari apa yang mereka boleh lakukan dan apa pemain negara kita boleh buat di peringkat antarabangsa,” kata Ketua Jurulatih Indera SC, Ameer Aziz-Hakim bin Haji Abdul Lani dalam sidang akhbar di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah. Indera SC satu-satunya pasukan negara yang telah membuat penampilan buat pertama kali meskipun tidak mempunyai banyak pengalaman berbanding pasukan lawan yang sudah pernah membuat lapan penampilan di kejohanan itu.

Pemain berbakat tempatan berjaya menggegarkan pertahanan Pasukan Yangon dengan rentak permainan serta sentuhan kemas mereka memberi peluang pada minit akhir babak pertama perlawanan.

Beliau menambah, “Kami mempamerkan aksi melalui beberapa serangan dan mencari peluang untuk melakukan jaringan gol di gawang pihak lawan semasa perlawanan tersebut. Mencari ruang untuk mencetak gol tetap menjadi keutamaan kami dalam perlawanan tersebut.

“Kami memiliki beberapa peluang dan saya fikir kami sepatutnya menjaringkan gol daripada beberapa peluang itu tanpa ragu.”

Sementara itu, Ketua Jurulatihnya Yangon United, Tin Maung Tun enggan mensia-siakan peluang walaupun sudah jauh mendahului perlawanan dan beliau juga memuji terhadap persembahan lawan mereka.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pasukan kerana 6-1 adalah keputusan yang baik. Tetapi, Indera SC adalah pasukan yang hebat dengan pemain yang baik.”

Pusingan kedua perlawanan Indera SC dan Yangon United akan berlangsung di Stadium Thuwunna di Yangon, Myanmar pada 29 Januari.

Ketua jurulatih dan kapten Indera SC semasa sidang media post-mortem baru-baru ini.