Indera SC mara ke suku akhir

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Kemenangan 4 – 1 Indera SC ke atas Pasukan IKLS di Kompleks Sukan Berakas baru-baru ini melengkapkan senarai pasukan yang melangkah peringkat suku akhir Piala FA Brunei DST 2017.

Pada perlawanan berkenaan menyaksikan empat jaringan Indera SC disempurnakan oleh Mohd Zulkhairy, Awang Nazirruddin dan Mohd Asri manakala jaringan tunggal IKLS FC oleh Mohd Razi. Sementara itu, baru-baru ini Pasukan Kasuka FC menarik nafas lega apabila menjadi pasukan pertama melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA selepas menewaskan Pasukan Wijaya FC dengan jaringan 4-3.

Sehubungan dengan kejayaan itu, Pengurus Pasukan Kasuka FC, Haji Adee Suharde Bin Haji Muhidin ketika dihubungi menyatakan rasa syukur kerana Kasuka FC mencapai matlamat untuk menang daripada satu perlawanan ke satu perlawanan dan menegaskan pasukan itu akan berusaha dan membuat yang terbaik untuk memenangi perlawanan seterusnya untuk mara ke perlawanan akhir.

Menurutnya setelah berjaya membenam Wijaya FC tempoh hari bukan misi mudah dan menegaskan, perlawanan menentang Wijaya FC adalah sangat sengit dan memaksa Kasuka FC untuk ketinggalan tiga kali dalam 90 minit sebelum perlawanan berpihak kepada pasukannya.

Pada peringkat separuh akhir, Kasuka FC akan berdepan pasukan Indera SC atau Jerudong FC dan mengulas mengenai kedua-dua pasukan itu, Haji Adee Suharde menegaskan Jerudong FC dan Indera FC merupakan kelab yang mempunyai pemain-pemain muda yang berpotensi selain gandingan pemain senior berpengalaman yang mewakili bola sepak negara.

“Kedua-dua pasukan ini mampu membuat kejutan dan pastinya mereka tidak akan memberikan laluan mudah kepada pasukan lawan untuk terus mara ke perlawanan separuh akhir dan ke akhir nanti,” ujarnya lagi.