India alu-alukan lawatan Trump

AHMEDABAD, INDIA, 24 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menerima sambutan meriah di negara demokrasi terbesar dunia hari ini, menyampaikan ucapan pada rapat besar di stadium kriket ketika lawatan rasmi ke India.

Ketegangan perniagaan telah meningkat di antara AS dan India, ekonomi kelima terbesar dunia, apabila kempen Trump ‘Amerika Dahulu’ bercanggahan dengan dasar perlindungan ‘Buatan India’ oleh Perdana Menteri Narendra Modi.

Sementara berkongsi kebimbangan mengenai China dan mempertingkat lagi hubungan pertahanan mereka, India melenting dengan tawaran Trump untuk menjadi perantara dalam perbalahan Kashmir dengan Pakistan, dan tidak senang dengan Washington berhubung undang-undang kerakyatan yang dikritik sebagai anti-Islam.

Melawat negeri asal Modi di Gujarat, Trump dan Wanita Pertama Melania melawat biara wira kemerdekaan Mahatma Gandhi, di mana Modi memberinya tiga patung monyet sebagai hadiah.

Kedua-dua pemimpin seterusnya mengunjungi stadium kriket baharu terbesar di dunia, di mana Trump memuji Modi sebagai ‘pemimpin luar biasa, pejuang hebat India’ di depan kira-kira 100,000 hadirin.

“Amerika suka India. Amerika menghormati India, dan Amerika sentiasa menjadi kawan setia kepada rakyat India,” beritahu Trump kepada para hadirin, kebanyakan me-reka memakai kep besbol dengan lambang Trump.

“Lawatan Presiden Trump membuka bab baharu dalam hubungan kami – bab yang akan mendokumen kemajuan dan kemakmuran rakyat Amerika dan India,” kata Modi.

Trump dan Modi dijangka menandatangani beberapa perjanjian pertahanan ketika lawatan, dan membincang pembekalan enam reaktor nuklear. – AFP

Presiden Donald Trump bercakap sementara Perdana Menteri India Narendra Modi tersenyum semasa rapat ‘Namaste Trump’ di Stadium Sardar Patel di Motera, pinggir bandar Ahmedabad, kelmarin. – AFP