HAMBANTOTA, SRI LANKA, 16 OGOS – Sebuah kapal penyelidikan China hari ini berlabuh di pelabuhan Hambantota yang dikendali oleh China di Sri Lanka, meskipun timbul kebimbangan daripada India dan Amerika Syarikat (AS) mengenai dakwaan aktiviti pengintipan.
Kapal Yuan Wang 5 memasuki pelabuhan selepas mendapatkan kebenaran untuk memasuki perairan Sri Lanka dengan syarat ia tidak akan terlibat dalam sebarang
penyelidikan, menurut pegawai pelabuhan.
Kapal berkenaan pada mulanya dijadualkan tiba minggu lalu, tetapi Colombo meminta Beijing untuk menangguhkan kunjungan itu berikutan bantahan oleh India, yang berkongsi kebimbangan dengan Barat mengenai aktiviti China di rantau itu.
Tetapi pada Sabtu, selepas mengadakan rundingan hangat, Sri Lanka mengumumkan kapal itu dibenarkan untuk berlabuh dan akan terus berada di sana selama enam hari bagi mengisi semula minyak dan mendapatkan bekalan lainnya.
“Kami memberikan kemudahan (pelabuhan) yang serupa sama seperti negara-negara lain,” menurut jurucakap kerajaan, Bandula Gunawardana kepada wartawan. “Semua negara adalah sama penting bagi kami.”

Duta China ke Sri Lanka, Qi Zhenhong berkata lawatan Yuan Wang 5 adalah sebahagian daripada ‘pertukaran normal antara kedua-dua buah negara’.
“China dan Sri Lanka mempunyai persahabatan erat,” Qi memberitahu wartawan pada majlis mengalu-alukan kapal tersebut.
Laman penganalisis kapal menyifatkan Yang Wang 5 sebagai kapal penyelidikan dan peninjau, tetapi menurut media India ia adalah kapal pengintip dua kegunaan.
New Delhi sangsi dengan kehadiran Beijing yang semakin meningkat di Lautan India dan pengaruh mereka di Sri Lanka.
India dan AS telah meningkatkan isu keselamatan mengenai lawatan kapal berkenaan ke Sri Lanka, dengan New Delhi mengemukakan aduan kepada Colombo. – AFP