India atasi jumlah COVID-19 Brazil, Bangladesh laksana sekatan

MUMBAI, 12 APRIL – India hari ini mengatasi Brazil sebagai negara kedua tertinggi dengan jumlah jangkitan koronavirus manakala Bangladesh membatalkan penerbangan antarabangsa dan menutup pejabat-pejabat ketika gelombang baharu membadai Asia Selatan.

Rantau itu – rumah kepada hampir suku penduduk dunia – telah dilanda kadar jangkitan meningkat beberapa hari kebelakangan.

India melaporkan rekod harian baharu lebih 168,000 kes hari ini dengan jumlah keseluruhan 13.5 juta kes, mengatasi 13.48 juta kes di Brazil.

Pakar-pakar telah menyalahkan sikap berpuas hati terhadap koronavirus dan kecewa dengan peningkatan itu.

Ratusan ribu penganut Hindu tanpa memakai penutup mulut dan hidung berduyun-duyun ke tebing Sungai Ganges bagi menghadiri acara mandian festival Kumbh Mela di Haridwar.

Orang ramai meninggalkan bandar ketika pihak berkuasa Bangladesh mengarahkan sekatan pergerakan lapan hari untuk membendung penularan koronavirus COVID-19 di Dhaka pada 12 April. – AFP

Di negara jiran Bangladesh berlaku kesesakan di bas-bas dan kereta api selepas kerajaan mengarahkan penutupan lapan hari di kesemua pejabat dan pengangkutan antarabangsa dan domestik bermula Rabu.

Puluhan ribu orang berkerumun ke stesen bas utama Dhaka, stesen kereta api dan bas untuk melarikan diri dari bandar menjelang penutupan itu.

Negara seramai 160 juta penduduk itu telah merekodkan 684,756 kes dengan 9,739 kematian namun jumlah kes harian telah meningkat tujuh kali ganda dalam masa sebulan.

Hospital-hospital di seluruh negara itu berkata mereka telah dibebani dengan kes-kes baharu dengan jumlah kematian harian meningkat lebih dua kali ganda.

“Tidak ada jalan alternatif kini untuk mengekang peningkatan COVID-19,” kata menteri kanan Farhad Hossain menjelang pengumuman sekatan itu.

Pihak berkuasa juga memberi amaran melaksanakan sekatan ketat kecuali orang awam kekal mematuhi penjarakan sosial dan memakai penutup mulut dan hidung.

Profesor kesihatan di Universiti Jawaharlal Nehru, Rajib Dasgupta, memberitahu AFP, seluruh negara berada dalam keadaan leka apabila membenarkan perhimpunan sosial, agama dan politik.

Menurut data yang dikumpulkan oleh AFP, India merekodkan lebih 873,000 kes dalam tujuh hari terakhir, peningkatan 70 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Sebagai perbandingan, Brazil mencatatkan lebih 497,000 kes dengan trend meningkat 10 peratus dari minggu sebelumnya. – AFP