Saturday, January 18, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    India, Bangladesh rasmi loji jana kuasa

    NEW DELHI, 1 NOV – India dan Bangladesh hari ini bersama-sama merasmikan pembukaan loji jana kuasa arang batu berhampiran salah satu hutan paya bakau terbesar di dunia, walaupun terdapat kritikan daripada pencinta alam sekitar di kedua-dua negara itu yang mengatakan ia mengancam mata pencarian jutaan penduduk.

    Projek Kuasa Terma Super Maitree yang berkapasiti 1,320 megawatt itu dijangka bakal membakar 4.75 juta tan arang batu setiap tahun, dan akan memulakan operasinya beberapa minggu sebelum persidangan iklim COP28 PBB di Dubai.

    Loji yang dibina di Bangladesh itu terletak berhampiran dengan tapak warisan dunia UNESCO, Sundarbans, salah satu hutan paya bakau terbesar di dunia.

    Pencinta alam sekitar berkata loji jana kuasa itu mengancam mata pencarian kira-kira dua juta penduduk di Sundarbans dan mungkin melanggar Konvensyen Ramsar PBB bagi melindungi paya bakau.

    Separuh pertama loji jana kuasa bernilai AS$2 bilion itu, yang dibiayai dengan pinjaman AS$1.6 bilion dari India telah mula beroperasi tahun lepas.

    Kedua-dua pemimpin itu turut merasmikan projek kereta api rentas sempadan dan pelabuhan antara negara mereka.

    “Projek-projek ini adalah contoh cemerlang kerjasama menang-menang antara negara kita,” kata Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina hari ini, dalam majlis yang diadakan secara maya bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi.

    Dhaka membeli sekurang-kurangnya satu juta tan arang batu dari India setiap tahun, tetapi bahan api untuk loji baharu itu akan diperolehi dari Bangladesh.

    Loji jana kuasa ini akan ‘meningkatkan keselamatan tenaga di Bangladesh’, kata kementerian luar India dalam satu kenyataan. – AFP

    Gambar Hindustan Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda