Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    India bantah dakwaan Kanada terhadap menterinya

    NEW DELHI, 3 NOV – Kerajaan India kelmarin menyatakan bahawa ia telah membantah dengan sekeras-kerasnya dakwaan Kanada terhadap menteri dalam negerinya, Amit Shah, yang dianggapnya ‘tidak masuk akal dan tidak berasas’.

    Menurut jurucakap kementerian luar India, Randhir Jaiswal, wakil Suruhanjaya Tinggi Kanada di India telah dipanggil dan diserahkan nota diplomatik berkenaan.

    Dalam nota itu, India menuduh pegawai Kanada sengaja membocorkan tuduhan yang tidak berasas kepada media antarabangsa “sebagai sebahagian daripada strategi sedar untuk mendiskreditkan India dan mempengaruhi negara lain,” dengan menyatakan bahawa tindakan yang tidak bertanggungjawab itu akan mempunyai akibat serius terhadap hubungan dua hala.

    Hubungan diplomatik antara India dan Kanada semakin merosot bulan lalu selepas kedua-dua negara mengusir diplomat masing-masing termasuk ketua pesuruhjaya.

    Situasi tersebut timbul selepas Ottawa menyatakan bahawa ketua pesuruhjaya India dan diplomat lain adalah ‘individu berkepentingan’ dalam pembunuhan seorang pemimpin pemisah Sikh dan menuduh New Delhi menyasarkan pembangkang India di Kanada.

    New Delhi menolak dengan tegas dakwaan Kanada dan menuduh Ottawa tidak berkongsi bukti untuk menyokong tuntutan mereka. Namun, Royal Canadian Mounted Police (RCMP) mengeluarkan kenyataan mengenai “aktiviti jenayah ganas yang berlaku di Kanada yang mempunyai kaitan dengan ejen kerajaan India.”

    New Delhi dan Ottawa terlibat dalam pertikaian diplomatik pada September 2023, selepas Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau mendakwa bahawa ejen India memainkan peranan dalam pembunuhan Hardeep Singh Nijjar, seorang pemimpin pemisah Sikh berhampiran Vancouver pada bulan Jun.

    India secara jelas menafikan tuduhan itu dan menggambarkannya sebagai tidak masuk akal dan bermotif. Perselisihan itu kemudian membawa kepada pengusiran diplomat antara kedua-dua pihak. – Xinhua

    Amit Shah bercakap ketika mesyuarat awam sebelum Ketua Menteri Gujarat, Bhupendra Patel, mengemukakan pencalonannya untuk pilihan raya dewan negeri Gujarat yang akan datang di Ahmedabad, India, pada 16 November 2022. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda