NEW DELHI, 5 OKT – India berdepan dengan masalah bekalan tenaga dalam beberapa bulan akan datang disebabkan oleh bekalan arang batu yang berkurangan dan peningkatan permintaan pasca pandemik, menurut menteri tenaga dalam laporannya yang diterbitkan hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas China dan negara-negara Eropah berdepan dengan krisis tenaga yang mengganggu rantaian bekalan global dan mengakibatkan peningkatan harga.
“Kebiasaannya permintaan mula menurun pada separuh kedua bulan Oktober, ketika cuaca mula sejuk,” R. K. Singh memberitahu Indian Express dalam temu bual.
“Namun ia akan menjadi sementara sahaja,” kata Singh, menekankan bahawa permintaan elektrik adalah ‘sangat tinggi’.
“Permintaan tidak akan menurun, ia akan terus meningkat.
“Kami sudah menambah 28.2 juta pengguna. Kebanyakan mereka adalah dari golongan kelas pertengahan bawah dan miskin, jadi mereka membeli kipas, lampu dan set televisyen,” tambahnya.
Stesen tenaga yang dijana oleh arang batu India mempunyai bekalan secara purata selama empat hari pada penghujung September, yang terendah dalam tempoh beberapa tahun.
Lebih separuh daripada stesen jana kuasa mengeluarkan amaran kekurangan bekalan dan kerajaan bergelut untuk mengembalikan stesen jana kuasa kembali beroperasi.
Penggunaan arang batu dianggarkan hampir 70 peratus digunakan untuk penghasilan elektrik di India dan sekitar satu per tiga bahan bakar digali secara domestik.
Syarikat Coal India, yang diuruskan oleh negara, menghasilkan kebanyakan bekalan negara, berkata mereka ‘bersaing’ untuk memastikan penghasilan mencukupi.
Selain peningkatan permintaan ketika ekonomi ketiga terbesar di Asia kembali pulih berikutan gelombang koronavirus, India dilanda hujan monsun baru-baru ini menyebabkan lombong-lombong banjir dan pengangkutan terganggu.
Ini mengakibatkan harga melonjak bagi pembeli arang batu, termasuk stesen jana kuasa. – AFP