NEW DELHI, 23 MEI – Para doktor di India kini bergelut untuk memerangi jangkitan kulat yang membawa maut kepada pesakit COVID-19 atau mereka yang telah sembuh daripada virus itu di tengah-tengah lonjakan virus koronavirus yang menyebabkan kematian di negara itu hampir mencecah 300,000 kes.
Keadaan yang mengancam nyawa, yang dikenali sebagai ‘mucormycosis’, agak jarang berlaku tetapi para doktor mengesyaki bahawa peningkatan jangkitan secara tiba-tiba boleh menyukarkan lagi perjuangan India untuk memerangi wabak tersebut.
India telah melaporkan lebih daripada 26 juta kes koronavirus yang disahkan sejak wabak itu bermula, dengan hampir separuh berlaku dalam tempoh dua bulan terakhir. Kementerian Kesihatan hari ini telah melaporkan 3,741 kematian baharu, menjadi jumlah keseluruhan kepada 299,266.
Ia juga melaporkan 240,842 jangkitan baharu dengan anggaran jumlah jangkitan dalam tempoh seminggu adalah di bawah 300,000 kes.
Pakar mengatakan bahawa jangkitan baharu di India, yang telah meningkat secara mendadak, mungkin akan beransur kurang. Tetapi terdapat beberapa petunjuk awal bahawa mucormycosis, yang juga dikenal sebagai ‘kulat hitam’ menjadi satu kebimbangan baharu dalam menentang koronavirus.
Mucormycosis terjadi disebabkan oleh pendedahan sejenis kulat, yang biasanya dijumpai di tanah, udara dan bahkan di hidung dan lendir manusia. Ia merebak melalui saluran pernafasan dan mengikis struktur wajah. Kadang kala, doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk menghentikan jangkitan bagi mengekang penularan sehingga ke bahagian otak.
Menteri persekutuan, Sadananda Gowda kelmarin berkata hampir 9,000 kes telah dilaporkan di India setakat ini, yang menyebabkan kekurangan Amphotericin B, ubat yang digunakan untuk merawat keadaan tersebut.
Gowda tidak berkongsi jumlah kematian, tetapi media tempatan mengatakan lebih daripada 250 maut akibat penyakit itu.
Pegawai kesihatan berusaha untuk mengatasi kekurangan ubat-ubatan, yang terjadi ketika negara tersebut kekurangan bekalan oksigen dan keperluan penjagaan kesihatan lain, kata Gowda. – AFP
