India berjaya lancar roket ke bulan

SRIHARIKOTA, 22 JULAI – India hari ini melancarkan roket kos murah dalam usaha untuk meletakkan kapal angkasa lepas di permukaan Bulan dan menyertai kuasa angkasa lepas elit.

Seminggu sahaja selepas pelancaran awal dihentikan sejurus sebelum dilancarkan, Chandrayaan 2, atau Moon Chariot 2, berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Satish membawa kebanggaan negara dan harapan saintis India.

India berusaha menjadi negara keempat selepas Rusia, Amerika Syarikat dan China untuk mendarat kapal angkasa lepas di Bulan. Jika misi berjalan seperti dirancang, kapal India itu akan mendarat di Kutub Selatan Bulan pada awal September.

“Setiap rakyat India berasa amat bangga hari ini!,” tulis Perdana Menteri Narendra Modi di Twitter, yang telah berikrar akan menghantar misi ke orbit pada tahun 2022.

“Saat-saat manis akan dilakar dalam catatan sejarah gemilang kami!”

“Hari ini adalah hari bersejarah untuk angkasa lepas, sains dan teknologi di India,” kata ketua Pertubuhan penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) K. Sivan tatkala beliau mengalu-alu usaha yang dilakukan untuk membaiki kebocoran minyak yang memaksa pelancaran sebelumnya ditangguhkan.

Chandrayaan 2 dilancarkan pada roket paling kuat India, Kenderaan Pelancaran Satelit Geosentrik (GSLV) MkIII. Ia membawa sebuah orbiter, pendarat dan perayau yang direka dan dibuat di India. – AFP

Chandrayaan 2, menaiki Kenderaan Pelancaran Satelit Geosentrik (GSLV III), dilancarkan di Sriharikota di negeri Andhra Pradesh pada 22 Julai. – AFP