India berkurung 21 hari

NEW DELHI, 25 MAC – India mengumumkan perintah ‘lockdown’ selama 21 hari bermula tengah malam Selasa, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang kini mencecah 500 orang.

Polis akan menguatkuasakan perintah berkurung yang ketat dan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

Perdana Menteri Narendra Modi dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen tempatan berkata, langkah pencegahan lebih ketat amat perlu untuk menyekat penularan wabak itu.

Beliau berkata sedangkan negara kaya dilihat sukar untuk menangani wabak itu, India perlu mengambil langkah serius memerangi ancaman untuk menghindari bencana yang lebih besar.

Di bawah perintah itu, sesiapa yang melanggar peraturan mungkin berdepan hukuman penjara dua tahun dan denda.

Orang ramai berdiri di tempat yang ditetapkan untuk mengekal penjarakkan sosial ketika mereka beratur di luar kedai ubat pada hari pertama perintah berkurung di seluruh negara di Allahabad kelmarin. – AFP

Berikutan pengumuman Modi, penduduk India bergegas membeli barangan keperluan hari ini yang melihat kebanyakan rak di kedai-kedai bandar besar New Delhi dan Mumbai dikosongkan.

“Adalah amat sukar untuk mendapatkan sumber keluaran,” beritahu penjual sayur Mumbai Rafiq Ansari kepada AFP.

“Kami akan menghadapi kekurangan besar pada hari-hari akan datang. Dan pada masa yang sama harga juga akan naik, harga tomato telah naik dua kali ganda,” kata beliau.

Tatkala pembelian panik membelenggu negara beberapa jam selepas ucapan Modi, beliau menggunakan Twitter untuk menyeru rakyat tidak membuat pembelian panik dan tinggal di dalam rumah, berjanji kerajaan persekutuan dan negeri “akan memastikan semua barangan keperluan mencukupi.”

“Sektor penting seperti penjagaan kesihatan, kemudahan awam, pengeluaran dan pengedaran barangan penting, media, bank, telekomunikasi dan perkhidmatan pengangkutan asas dikecualikan daripada perintah ‘lockdown’.

Semua perhimpunan awam dan keagamaan dilarang.  “Penjarakkan sosial satu-satunya pilihan,” kata Modi. – Bernama/AFP